Skip to content

Desentralisasi dan benarkan kerajaan negeri memutuskan sektor perniagaan yang boleh beroperasi tertakluk pada garis panduan SOP yang ketat lebih baik daripada pendekatan gagal di mana kementerian di Putrajaya memutuskan segalanya

Prosedur operasi standard (SOP) untuk “total lockdown” di bawah PKP 3.0 sekali lagi telah menimbulkan kekeliruan mengenai apa yang boleh dan tidak dibenarkan, sektor perniagaan mana yang merupakan perkhidmatan perlu terutamanya sama ada sesuatu perniagaan dapat dibenarkan untuk beroperasi. Daripada menumpukan semua kuasa di Kementerian di Putrajaya, Kerajaan PN harus melakukan desentralisasi dan meninggalkan pendekatan gagal sebelum ini dalam melaksanakan SOP COVID-19 untuk membendung gelombang ke-3 jangkitan.

Surat yang membenarkan perjalanan rentas negeri dan daerah dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian (MITI) akan tamat tempoh hari ini pada 31 Mei. MITI tidak lagi diberi mandat untuk memberikan kelulusan bagi sektor selain daripada pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan (MRS), tertakluk kepada surat kelulusan baharu untuk beroperasi yang boleh dimuat turun dari Covid-19 Intelligent Management System (3.0). Namun, untuk sektor selain pembuatan dan MRS, syarikat perlu merujuk kepada kementerian berkaitan yang mengawal selia berkenaan atau Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini telah menyebabkan bertambahnya kekeliruan terutamanya ketika Kementerian-Kementerian berkenaan tidak dapat dihubungi. Terdapat banyak aduan terhadap gagal mendapatkan akses kepada MKN dan Kementerian sama ada menerusi talian hotline atau laman web mereka. Rakyat telah hilang kepercayaan terhadap kepakaran IT Kerajaan PN, apabila PN gagal teruk semasa proses pendaftaran atas talian untuk vaksin AstraZeneca walaupun membelanjakan RM70 juta.

Rakyat juga kecewa dengan pusat pemberian vaksinasi mega yang menyebabkan kesesakan dan tempoh menunggu yang lama, mendatangkan bahaya kesihatan terutamanya kepada warga emas. Desentralisasi harus menjadi jalan ke hadapan untuk menjadikan perkhidmatan penting kerajaan lebih mudah didapati, mudah diakses dan berpatutan. Dengan kebanyakan perkhidmatan kerajaan ditutup di bawah “total lockdown”, bagaimana rakyat dapat meminta pertolongan, terutamanya jika mereka tinggal jauh dari Putrajaya.

Desentralisasi membolehkan kerajaan negeri memainkan peranan mereka dan memutuskan sektor perniagaan yang boleh atau tidak boleh beroperasi tertakluk pada garis panduan SOP yang ketat. Ini akan menjadikan lebih mudah bagi perniagaan dan orang ramai yang boleh pergi ke pejabat kerajaan negeri masing-masing, jika perlu, dan tidak perlu melakukan perjalanan jauh ke Putrajaya.

Peningkatan tragis dalam kes dan kematian COVID-19 adalah disebabkan oleh kegagalan keseluruhan kerajaan yang menyebabkan Malaysia menjadi negara terburuk di Asia dan salah satu negara terburuk di dunia berdasarkan purata bergerak 7 hari. Kegagalan keseluruhan kerajaan ini adalah ditangan Kerajaan Persekutuan PN dan kerajaan negeri harus diberi peluang untuk membuktikan sama ada mereka berkemampuan, memainkan peranan mereka dan membuat keputusan. Rakyat tidak akan rugi apa-apa ketika sekarang pun nasihat pakar seperti ditolak atau diabaikan oleh Menteri yang tidak cekap dan tidak berkelayakan.