Skip to content

Desentralisasi kepada Kerajaan Negeri dan bukannya monopoli tunggal dalam perolehan vaksin adalah penyelesaian terbaik untuk mempercepat Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) menjelang 31 Disember 2021

Kelewatan dalam penghantaran bekalan utama vaksin COVID-19 dari bulan Jun kepada Julai tidak dapat datang pada masa yang lebih buruk ketika jangkitan COVID-19 semakin tidak terkawal. Hari ini, Malaysia kemungkinan akan melepasi tahap mengerikan 500,000 jangkitan COVID-19, dengan lebih daripada 650 kes di ICU dan hampir 2,200 kematian. Ini telah melonjakkan Malaysia untuk mencatat jumlah kes COVID-19 tertinggi di Asia Pasifik dari segi per kapita dan jangkitan harian tertinggi di ASEAN, lebih tinggi daripada Indonesia.

Rakyat Malaysia sudah tidak kisah dengan rasa malu menjadi lebih teruk daripada Indonesia, kerana kegagalan dan ketidakcekapan Kerajaan PN dalam menguruskan pandemik COVID-19 dan kadar vaksinasi rendah 2.6% untuk dua dos, yang sekali lagi lebih rendah daripada 3.4% bagi Indonesia. Rakyat Malaysia sangat terdesak mendapatkan vaksin untuk melindungi diri, keluarga dan orang tersayang.

Pusingan U dalam dasar dan SOP COVID-19 serta amalan dua darjat dalam pematuhan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditambah buruk dengan kelewatan bekalan vaksin dari bulan Jun kepada Julai. Ini membahayakan sasaran Kerajaan PN sendiri untuk menyelesaikan Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) pada 31 Disember 2021.

Vaksinasi adalah perlindungan terbaik terhadap COVID-19. Oleh kerana Kerajaan telah gagal mendapatkan bekalan vaksin mengikut jadual, Kerajaan PN perlu membenarkan kerajaan negeri untuk mendapatkan vaksin secara pukal dari pengeluar di luar negera sebagai bekalan tambahan dan selain dari syarikat tempatan Phamarniaga.

Ini akan membolehkan kerajaan negeri membantu dan melengkapi PICK oleh Kerajaan Persekutuan PN dengan memberikan vaksin percuma kepada barisan hadapan, kumpulan berisiko tinggi dan mereka yang tidak mampu membayar serta menjualnya kepada mereka yang mampu membayar. Hospital dan klinik swasta boleh digunakan untuk membantu pemberian vaksin.

Desentralisasi kepada kerajaan negeri dan bukannya monopoli tunggal dalam perolehan vaksin adalah penyelesaian terbaik untuk mempercepat Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) menjelang 31 Disember 2021. Dengan desentralisasi dan bukannya menyerahkan perolehan vaksin kepada monopoli tunggal, mungkin ada lebih banyak bekalan vaksin serta meningkatkan kadar vaksinasi. Desentralisasi juga dapat membantu mengelakkan insiden dos yang tidak mencukupi diberikan, seperti yang tular di media sosial.

Keterdesakan rakyat untuk mendapatkan vaksin disebabkan oleh ketakutan terhadap COVID-19 sangat nyata. Adalah tragis bahawa Hospital Sungai Buloh – kemudahan rawatan utama negara untuk Covid-19 – terpaksa memasang kontena sejuk beku kedua untuk menangani peningkatan jumlah kematian setelah hospital kehabisan ruang simpanan.

Kegagalan pengurusan krisis oleh PN tidak memberikan banyak keyakinan bahawa PN dapat melakukan tugas mereka dengan baik untuk melindungi rakyat Malaysia dari COVID-19 dan mengeluarkan ekonomi dari kemelesetan dan menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan. Dengan kelewatan vaksin yang tidak menentu, banyak rakyat Malaysia merasakan mereka dirisikokan dan orang yang mereka sayangi terdedah kepada bahaya disebabkan oleh perancangan yang lemah dan pengurusan yang tidak cekap.