Skip to content

Dewan Undangan Negeri Pahang akan bersidang maka tiada alasan untuk meneruskan penggantungan sesi Parlimen

Setiausaha Dewan Undangan Negeri Pahang telah menghantar notis bertarikh 1 Jun 2021 kepada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pahang dan memaklumkan bahawa Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Undangan Negeri Pahang akan diadakan di antara 16 sehingga 20 Ogos 2021 tertakluk kepada akhir tempoh darurat yang tamat pada 1 Ogos 2021. Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri juga diminta untuk mencadangkan usul-usul serta mengemukakan pertanyaan lisan.

Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pahang DAP akan menghantar usul-usul serta pertanyaan lisan sebelum tempoh yang ditetapkan serta dengan sebulat suara menyambut baik keputusan kerajaan negeri ini. Keputusan yang signifikan ini semestinya dapat mengembalikan Pahang ke sistem demokrasi yang normal dan mengizinkan ahli-ahli DUN untuk menyemak dan mengimbang kerajaan negeri terutamanya dalam isu-isu seperti wabak COVID-19, krisis ekonomi, pendidikan dan kebajikan rakyat.

Sekiranya kerajaan Pahang dapat menunjukkan keazaman serta kebijaksanaan untuk membuka semula DUN maka Parlimen, sebagai badan perundangan utama negara, tidak mempunyai alasan untuk mengelakkan diri daripada amanahnya. Negara kini mendepani cabaran yang cukup getir dan tidak pernah dialami, tetapi ia bukanlah alasan untuk menutup Parlimen. Sebaliknya, persidangan Parlimen lebih diperlukan dalam pandemik ini, biarpun dalam bentuk maya ataupun fizikal, supaya isu-isu seperti Covid-19, kemelut ekonomi, krisis pendidikan serta kemiskinan yang melanda golongan B40 boleh dibahaskan dalam Dewan Parlimen.

Perikatan Nasional menggunakan alasan membendung gejala wabak COVID-19 untuk menjustifikasi keputusan untuk mengisytiharkan darurat. Namun rakyat semakin sedar bahawa proklamasi darurat sebenarnya tidak berkaitan dengan kerja-kerja menangani ancaman COVID-19. Ketika virus COVID-19 mula merebak pada bulan Mac 2020, kerajaan juga mampu mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara tanpa proklamasi darurat. Selanjutnya, pada bulan Jun tahun ini, walaupun negara ini masih dalam tempoh pelaksanaan darurat, kerajaan juga terpaksa mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh kerana kes positif serta kes kematian COVID-19 yang hilang kawalan. Secara ringkasnya, kunci untuk memerangi wabak adalah kawalan sasaran terhadap pelbagai kegiatan sosial, dan bukanlah menutup Parlimen.

Sekiranya Parlimen tidak bersidang dalam masa yang terdekat, ia akan menyebabkan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki terhadap sistem demokrasi berperlembagaan, ekonomi negara mahupun sistem sosial-politik kami. Biarpun dalam tempoh pandemik ataupun tidak, setiap sudut kehidupan rakyat dipengaruhi oleh polisi kerajaan. Sumber kesahan sesuatu kerajaan mesti datang dari Parlimen di mana ahlinya dilantik oleh rakyat, jika tidak, kerajaan tersebut akan menjadi sesebuah kerajaan oligarki yang tidak berasaskan sokongan rakyat.

Oleh itu, kami menyeru kerajaan Perikatan Nasional supaya mengikut jejak kerajaan negeri Pahang dan memanggil sidang Parlimen tanpa berlengah-lengah. Perkara ini harus diutamakan dan disegerakan untuk membolehkan kerajaan menerima semak dan imbang daripada ahli-ahli Parlimen dalam dewan sidang yang mulia. Hanya dengan cara ini, negara ini mampu memerangi wabak COVID-19 bersama-sama.

Lee Chin Chen
KETUA PEMBANGKANG DUN PAHANG & ADUN BILUT

Leong Yu Man
ADUN TRIANG

Chow Yu Hui
ADUN TRAS

Kamache Doray Rajoo
ADUN SABAI

Young Syefura
ADUN KETARI

Woo Chee Wan
ADUN MENTAKAB

Chiong Yoke Kong
ADUN TANAH RATA