Skip to content

Di bawah 3 orang Menteri Pertahanan Barisan Nasional, LTAT bukan sahaja dijadikan lubuk buat duit untuk kroni, malah dana LTAT dan syarikat pegangan LTAT disalahgunakan untuk menutup satu demi satu kerugian akibat kepincangan pengurusan kewangan dan penyelewengan wang negara

Pendedahan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Ahmad Nazim Abdul Rahman bahawa syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) terpaksa menggunakan wang daripada perolehan kapal LCS untuk membayar hutang lapuk projek lain membuktikan bahawa dana LTAT dan syarikat pegangan LTAT telah sekian lama disalahguna oleh kerajaan Barisan Nasional untuk menutup satu demi satu kerugian akibat daripada kepincangan pengurusan kewangan dan penyelewengan wang negara. (Rujukan: https://www.malaysiakini.com/news/631579)

Ahmad Nazim mendedahkan bahawa Boustead terpaksa mengambil alih sebuah syarikat pembuat kapal tentera, PSC Industries Bhd yang dibebani hutang RM400 juta dan tidak dapat meneruskan projek yang diberi pada tahun 2005. Menteri Pertahanan ketika itu ialah Najib Razak.

Tindakan Kerajaan Barisan Nasional bukan sahaja menyebabkan kerugian besar kepada LTAT dan Boustead, malah menjadikan keadaan kewangan BNS menjadi parah sehingga perkara ini menjadi antara faktor kegagalan BNS menyiapkan 6 buah LCS dalam skandal terkini.

Laporan PAC menyebut bahawa BNS tidak akan mendapat sebarang keuntungan walaupun projek LCS ini diteruskan. Ini bermakna Boustead dan seterusnya LTAT juga tidak akan menerima sebarang pulangan daripada projek ini, berbeza dengan kenyataan Najib kononnya kontrak diberikan demi kepentingan LTAT dan pulangan kepada veteran tentera dan tentera.

Sebaliknya, syarikat-syarikat kroni termasuk syarikat asing yang telah mendapat untung daripada projek LCS ini.

RM3.3 bilion atau satu pertiga daripada RM9 bilion jumlah keseluruhan projek LCS telah diperuntukkan kepada syarikat orang tengah yang dikawal oleh syarikat asing. Daripada jumlah itu, RM2.1 bilion sudahpun dibayar kepada mereka.

Satu lagi pihak yang mendapat untung daripada projek LCS ini ialah syarikat pembekal dari Perancis yang sebelum ini terpalit dengan kes rasuah melibatkan pembelian kapal selam Scorpene dan Agosta, yang juga berlaku semasa Najib Razak menjadi Menteri Pertahanan. Syarikat ini telah mendapat kontrak LCS bernilai RM1.7 bilion. Daripada jumlah itu, RM576 juta sudahpun dibayar kepada mereka.

Jadi di manakah manfaat dan keuntungan yang kononnya hendak ditujukan kepada LTAT dan syarikat tempatan yang dipegang oleh LTAT?

Hakikatnya, di bawah 3 orang Menteri Pertahanan Barisan Nasional, Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi, dan Hishammuddin Hussein, LTAT dan syarikat pegangan LTAT seperti Boustead bukan sahaja dijadikan lubuk buat duit oleh kroni malah dana LTAT disalahgunakan untuk menutup satu demi satu kerugian akibat kepincangan pengurusan kewangan dan penyelewengan wang negara.