Skip to content

Di bawah PAS dan UMNO, pemimpin bukan Islam yang menyokong mereka seperti Wee Ka Siong dan Wee Jeck Seng bukan sahaja tidak berpeluang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang atau Menteri Kewangan, malah untuk menjadi Menteri Kabinet pun susah

Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), YB Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man telah meminta saya menunjukkan bukti kenyataan pimpinan PAS yang mengancam hak asas bukan Islam atau bukan Melayu yang dijamin bawah Perlembagaan Persekutuan.

Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, dalam sebuah rencana bertarikh 22 Disember 2017 yang disiarkan laman rasmi PAS telah mengatakan, “Dalam aspek politik, Islam tegas mewajibkan kepimpinan utama yang menjaga dasar dan konsepnya daripada penganut Islam dan menerima bukan Islam dalam aspek kepakaran dan pengurusan, bukannya perkara dasar dan konsep”.

Pandangan yang sama juga telah dilontarkan oleh YB Ahmad Fadhil Shaari, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, dan dilaporkan oleh akhbar The Sun pada 6 Oktober 2019 yang memetik ucapan beliau yang menyatakan jawatan utama kepemimpinan negara dan negeri, iaitu Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri, serta kementerian penting seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri dan Pihak Berkuasa Negeri, serta Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan lain-lain jawatan strategik hendaklah diterajui oleh orang Melayu yang beragama Islam.

Bukan sekadar itu, pada 7 Oktober 2019, Malaysiakini melaporkan kenyataan Presiden Pas yang menyatakan, “Haram bagi umat Islam menyerah kuasa kepada bangsa lain yang bukan Islam.” Pada 8 Januari 2019 pula, Datuk Seri Hadi Awang memberi amaran kepada orang Islam supaya memilih pemimpin di kalangan orang Islam, tanpa mengambil peduli kezaliman yang mereka lakukan, sambil mendakwa kepimpinan bukan Islam ‘akan berakhir dengan neraka’.

Kini, rakyat Malaysia memahami mengapa PAS di bawah kepimpinan Hadi menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyebabkan Malaysia mendapat nama buruk dengan gelaran kleptokrasi global! Ada banyak lagi kenyataan lain seperti sedemikian oleh Datuk Seri Hadi termasuk laporan Malaysiakini pada 7 Oktober 2019.

Kenyataan-kenyataan tersebut sahaja sudah cukup untuk membuat kita meragui keikhlasan PAS terhadap sistem demokrasi yang memberikan hak kepada rakyat majmuk bawah kerangka Perlembagaan Persekutuan seperti yang kita amalkan selama ini, atas nama fahaman agama yang sempit. Malangnya MCA yang pernah mengkritik politik ekstremis agama dan diskriminasi ke atas bukan Islam kini menjadi rakan politik PAS, tanpa mempertikai perkara-perkara tersebut.

Jelas sekali, di bawah PAS dan UMNO, pemimpin bukan Islam yang menyokong mereka seperti Wee Ka Siong dan Wee Jeck Seng bukan sahaja tidak berpeluang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang atau Menteri Kewangan, malah untuk menjadi Menteri Kabinet pun susah.