Skip to content

Di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), menteri dan bantuan kewangan bagi industri pelancongan hilang

Satu tinjauan baru-baru ini oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) menunjukkan kerugian yang melumpuhkan dialami industri perhotelan, akibat “total lockdown” yang dilaksanakan, dengan 63% pekerja hotel sedang cuti tanpa gaji. 120 daripada 320 hotel yang ditinjau telah ditutup dengan kadar penghunian purata kurang daripada 20%.

8 pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion oleh Kerajaan PN telah gagal membantu industri pelancongan yang kerugian RM100 bilion tahun lalu dan dijangka mencatat kerugian besar tahun ini. Pakej Pemulih terbaru yang menawarkan bantuan bernilai RM16 juta dalam bentuk bantuan “one-off” RM3,000 kepada agensi pelancongan, hanya menunjukkan bahawa Menteri Pelancongan sekarang hilang dan betapa besarnya bantuan kewangan yang dinafikan oleh Kerajaan PN kepada industri pelancongan.

Sektor industri pelancongan yang lain, seperti perniagaan hospitaliti dan restoran juga terjejas teruk dan perlu menunggu sekurang-kurangnya satu tahun lagi untuk melihat sedikit pemulihan. Tidak ada guna menawarkan pinjaman apabila tidak ada pendapatan atau perniagaan yang dapat dijana akibat “lockdown” sekarang. Apa yang diperlukan adalah geran atau langkah-langkah kewangan untuk membantu mereka menampung kos perniagaan.

Industri pelancongan terlalu penting untuk diabaikan atau dipinggirkan tanpa bantuan kewangan bersepadu. Menurut Jabatan Perangkaan, Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan (GVATI) telah mencatat sumbangan sebanyak 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM240 bilion.

Sekiranya Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin susah ketandusan idea mengenai bagaimana untuk membantu industri pelancongan, sekurang-kurangnya apa yang dapat dilakukan beliau ialah menggandakan program subsidi gaji untuk semua pekerja industri pelancongan, menawarkan moratorium pinjaman bank tanpa faedah, subsidi sewa dan geran perniagaan. Walaupun kita boleh berdebat mengenai jumlah yang perlu diberikan, masalahnya adalah jika tidak ada langsung bantuan yang ditawarkan, dijangka tidak ada yang dapat terus bertahan.