Skip to content

Di manakah 150,000 kapasiti ujian saringan yang disasarkan kerajaan pada Januari?

Rakyat Malaysia mula menempuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 baru-baru ini dan banyak keluarga yang bergelut untuk terus hidup dari segi kewangan, pekerjaan, pendidikan, perniagaan, kesihatan fizikal, mental dan lain-lain. Selain Prosedur Operasi Standard (SOP) yang mengelirukan telah menimbulkan kemarahan dan kritikan rakyat, persoalan yang penting ketika ini adalah, apakah perbezaan yang dilakukan kerajaan pada ketika ini, berbanding PKP 1.0 dan PKP 2.0 lalu?

Kerajaan tidak boleh mengharapkan rakyat untuk terus berdisiplin sambil dibelenggu kesan kewangan yang teruk sepanjang PKP, dalam masa sama kerajaan sendiri tidak melakukan dengan lebih baik. Salah satu tindakan yang paling penting dilakukan untuk membendung penyebaran virus adalah melalui ujian dan pengasingan dengan logik mudah: ‘semakin cepat kita mengasingkan orang yang positif Covid-19 dalam komuniti kita, semakin kecil risiko mereka
menyebarkan virus dalam masyarakat.’

Banyak pihak termasuk wakil-wakil rakyat pembangkang telah menyarankan agar kerajaan meningkatkan kemampuan jumlah saringan Covid-19. Malah pada Januari, kerajaan sendiri berkata bahawa pihaknya mensasarkan untuk meningkatkan kapasiti ujian saringan RT- PCR negara dari sekitar 70,000 hingga 100,000 dengan matlamat untuk mencapai 150,000 kapasiti ujian saringan.

Setelah empat bulan berlalu, angka-angka ujian kita masih dalam lingkungan 70,000 sehari, di mana angka 150,000 yang dijanjikan? Virus Covid-19 tidak menanti sesiapa, empat bulan adalah tempoh yang lama dalam pertempuran pandemik global sekali-dalam-seabad ini.

Tambahan pula, kerajaan dilihat tidak mencuba untuk menjalankan inisiatif saringan berskala besar lain untuk mengenal pasti kes-kes positif dalam komuniti. Seruan banyak kumpulan agar Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) dimasukkan dalam proses saringan seluruh negara nampaknya tidak diendahkan. Walaupun RTK-Ag mungkin kurang tepat, tetapi ia memiliki kelebihan dari aspek kepantasan dan kapasiti (memandangkan ia boleh didapati secara meluas dan tidak terhad kepada kapasiti makmal). Pastinya, ia mempunyai peranannya sebagai sebuah pendekatan sementara pada saat kita mendepani cabaran dalam mempertingkatkan kapasiti RT-PCR.

Ternyata, menangani krisis Covid-19 tidak mudah, namun jika selepas setahun, kerajaan tidak membuat perkara asas seperti ujian dan pengasingan dengan betul, apa harapan yang boleh rakyat Malaysia ada? Berapa banyak lagi PKP yang boleh kita tempuhi dalam membebaskan negara dari krisis Covid-19? Kerajaan betul betul hilang akal jika mereka terus melakukan perkara yang sama berulang kali, namun berharap hasil yang berbeza (Insanity: doing the same thing over and over again and expecting different results) .