Belanjawan 2021 memperuntukkan RM800 juta untuk tujuan penyelenggaraan sekolah dan institusi pendidikan di bawah pengendalian KPM.
Pada 24 November, 2020, semasa penggulungan Belanjawan 2021, Menteri Kanan Pendidikan menyatakan bahawa RM29.98 juta daripada RM800 juta tersebut akan diagihkan untuk SJKT.
Pada zaman Pakatan Harapan, SJKT diperuntukkkan RM50 juta setiap tahun untuk tujuan penyelenggaraan. Jumlah peruntukan untuk SJKT telah dikurangkan sebanyak 40% pada zaman Perikatan Nasional.
Apa yang amat mengejutkan saya adalah, peruntukan yang dijanji oleh Menteri Kanan Pendidikan berjumlah RM29.98 juta pada 24 November 2020, juga tidak disalurkan secara penuh kepada SJKT pada tahun ini.
Menurut jawapan Menteri Kanan Pendidikan bertarikh 15 Disember 2021 di Parlimen, peruntukan yang telah disalurkan kepada SJKT pada tahun ini adalah hanya RM22 juta, padahal, jumlah yang sepatutnya disalurkan adalah RM29.98 juta.
Soalan saya kepada Menteri Kanan Pendidikan dan dua orang Timbalan Menteri Pendidikan adalah di manakah baki peruntukan RM7.98 juta dan mengapa jumlah ini tidak disalurkan kepada SJKT samada sekolah bantuan kerajaan atau sekolah kerajaan pada tahun ini?
Pada hujung tahun 2020, sektor pendidikan terutamanya sektor pendidikan vernakular amat terkejut atas sekatan terhadap peruntukan kepada SJKT iaitu pengurangan sebanyak 40% daripada jumlah peruntukan telah ditetapkan. Pada tahun-tahun sebelumnya, peruntukan untuk SJKT adalah sebanyak RM50 juta setiap tahun.
Jumlah peruntukan ini telah dikurangkan kepada RM29.98 juta pada tahun 2021 di bawah pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional. Oleh itu, kegagalan kerajaan untuk menyalurkan jumlah penuh iaitu RM29.98 juta kepada SJKT pada tahun ini membuktikan bahawa kerajaan tidak komited kepada pembangunan SJKT dan langsung tidak mencerminkan semangat Keluarga Malaysia.