Skip to content

Di manakah Malaysia menjelang ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057 dalam 34 tahun lagi?

Di masa ketika Parlimen sedang membahaskan Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12, sesuai untuk kita bertanya: “Di manakah Malaysia menjelang ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057 dalam 34 tahun lagi?”

Pada tahun 1991, ketika rancangan tiga puluh tahun, Wawasan 2020, dilancarkan untuk mencapai sasaran menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020, ada 19 “negara maju” dari sejumlah 160 buah negara di seluruh dunia.

Kita telah gagal untuk memenuhi semua sembilan cabaran strategik Wawasan 2020, sama ada:

  • Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.
  • Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.
  • Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun.
  • Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi.
  • Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.
  • Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.
  • Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.
  • Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.
  • Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Selepas gagal untuk mencapai status negara maju dan memenuhi semua sembilan cabaran strategik Wawasan 2020, adakah Malaysia akan mampu untuk mencapai sasaran-sasaran ini menjelang ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057 dalam 34 tahun dari sekarang?

Buat masa ini, dari segi KDNK, Malaysia diletakkan oleh Bank Dunia di tempat ke-36, manakala dari segi KDNK per kapita, Malaysia berada di tempat ke-56 dari kalangan negara-negara dunia.

Buat pertama kali dalam rancangan lima tahun Malaysia, ada komitmen dalam Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 untuk Malaysia ditempatkan dalam kalangan 25 negara terbaik dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI dalam tempoh 10 tahun, dan supaya dalam tahun 2025, Malaysia berada dalam kalangan 30 negara terbaik dunia.

Itulah masanya untuk rakyat menilai agenda reformasi kerajaan perpaduan Anwar.