1. DAPSY menegaskan bahawa Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh telah berulang kali mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat kestabilan politik. DAPSY menggesa Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan agar mengakui realiti ini dan tidak terus mempertahankan “nila setitik” dalam Kerajaan Perpaduan ini.
2. DAPSY ingin mengingatkan semua bahawa yang mencetuskan kemarahan rakyat kini bukan pihak lain, tetapi Akmal sendiri. DAPSY tidak pernah mengugut peniaga, tidak pernah menakut-nakutkan pendakwa raya, dan tidak pernah mengheret orang ramai ke kedai peniaga biasa untuk “mengajar” cara mengibarkan Jalur Gemilang, apatah lagi menyebabkan premis perniagaan berhampiran terpaksa ditutup pada hari biasa.
3. Rekod “pencapaian” Akmal juga cukup memalukan. Beliau pernah menghina pengkritik sebagai OKU, menyerang YB Teresa Kok dengan gelaran “Nyonya Tua”, serta menghasut untuk mengambil tindakan ganas dalam isu KK Mart. Semua ini jelas menunjukkan kewujudan politik samseng yang tidak sepatutnya ada pada seorang ketua pemuda parti pemerintah.
4. Sesungguhnya Tok Mat tidak perlu mempertahankan “nila setitik” ini. Berdasarkan semua rekod yang ada, Akmal jelas samseng politik, manakala DAPSY hanyalah pihak yang mendedahkan perangai samseng tersebut. Samseng patut menghentikan tindakannya yang membahayakan masyarakat berbilang kaum, bukannya menyuruh pihak yang mendedahkan perihal samseng untuk berhenti daripada berbuat demikian.
5. Retorik bahawa kononnya perlu tunggu Pemuda UMNO untuk bertindak dalam isu bendera adalah lapuk dan menyimpang daripada fakta sebenar. DAPSY ingin menegaskan bahawa pihak polis sudah menyelesaikan siasatan, laporan telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara, dan keputusan selanjutnya akan dibuat oleh pihak berkuasa tertentu dan bukannya oleh mana-mana ahli politik yang berlagak “polis moral”.
6. DAPSY ingin mengingatkan bahawa zaman politik diktator yang berkuasa penuh sudah berakhir. Urusan undang-undang wajib diserahkan kepada pihak atau agensi berkenaan, bukannya dijadikan alat oleh mana-mana ahli politik kerajaan untuk kepentingan diri.
7. Selama ini, pihak yang tidak rasional dan tidak berfikiran waras hanyalah Akmal seorang. Jika Tok Mat benar-benar mahu memberi nasihat, beliau harus bermula dengan “Ketua Pemuda terpaling PN tersebut” terlebih dahulu. Tegurlah dia agar bertenang dan berhenti merosakkan pentadbiran kerajaan Madani, dan yang paling penting sekali adalah kena menghayati frasa “sekiranya tiada benda baik nak cakap, lebih elok diam”.
8. Realitinya, kerjasama antara DAP dan UMNO dalam bab kerajaan berjalan dengan lancar dan licin sekali. Hanya Akmal seorang sahaja yang suka mencetuskan kekacauan, memalukan parti sendiri dalam Kerajaan Perpaduan. Seperti mana Tok Mat sendiri pernah kata, jangan mengeruhkan usaha kita mengurus negara bersama, maka langkah pertama adalah memastikan ketua pemuda sendiri yang terpaling PN tersebut untuk mendiamkan diri.