Skip to content

Dr Afif Bahardin akan menulis kepada Kerajaan Persekutuan untuk membantah tindakan berhati batu dalam penswastaan kebersihan penjaja oleh Kementerian Kesihatan

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sangat bimbang tentang tindakan berhati batu dalam penswastaan standard kebersihan penjaja di Malaysia yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan yang akan menambahkan beban kewangan penjaja yang berpendapatan rendah, khususnya apabila mereka sedang menderita akibat kenaikan harga yang dikenakan oleh Kerajaan Persekutuan BN. Para penjaja di Pulau Pinang kini tergesa-gesa mendaftarkan diri untuk kursus pengendalian makanan kerana takut disaman atau dipenjarakan selepas tarikh akhir 23 Januari untuk mendapatkan sijil.

Penjaja boleh dikenakan denda maksima RM10,000 atau hukuman penjara maksima dua tahun, atau kedua-duanya, oleh pegawai-pegawai kesihatan Kementerian Kesihatan, sekiranya gagal memperolehi sijil dalam masa yang tepat di bawah Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Kementerian Kesihatan membenarkan 6 syarikat di Pulau Pinang untuk mengenakan caj RM50 untuk kursus pengendalian makanan yang mudah, sementara kedua-dua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) boleh mengendalikannya untuk percuma.

Mengapakah Kementerian Kesihatan tidak boleh mengendalikan kursus ini secara percuma atau menerima bayaran nominal, daripada membenarkan syarikat swasta untuk mengaut keuntungan daripada kumpulan berpendapatan rendah seperti penjaja? Penjaja yang marah dengan yuran RM50 ini sedang mempersoalkan sama ada tindakan ini satu penswastaan atau “penlanunan”. Kementerian Kesihatan telah menyokong 6 pusat latihan untuk mengendalikan kursus ini: Pearl Garden Enterprise; Pusat Latihan dan Perundingan Wasin; Sihat Utama Enterprise; CSL Training and Consultancy; SQC Management (Pg) Sdn Bhd dan Institusi Pengendali Makanan Ilham.

Kerajaan Negeri menyokong apa-apa usaha untuk meningkatkan standard keselamatan dan kesihatan makanan. Sesungguhnya, tidak harus ada kompromi dalam hal penguatkuasaan kesihatan dengan lebih 10,000 kes keracunan makanan yang dilaporkan tahun lepas. Walau bagaimanapun, matlamat untuk mengurangkan kes keracunan makanan tidak sepatutnya digunakan sebagai alasan untuk membenarkan beberapa syarikat swasta untuk mengaut keuntungan.

Kenaikan harga barangan oleh BN telah memaksa penjaja di Pulau Pinang untuk membayar lebih untuk gula, petrol, tarif elektrik TNB, tol lebuhraya dan kini kursus pengendalian makanan sebanyak RM50. Berbeza dengan BN, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak meningkatkan cukai tanah, cukai taksiran, lesen perniagaan dan mengendalikan kursus pengendalian makanan secara percuma. Atas sebab ini, mesyuarat EXCO pada 15.1.2014 telah bersetuju bahawa Ahli EXCO untuk Kesihatan Dr Afif Bahardin akan menulis kepada Kerajaan Persekutuan untuk membantah tindakan berhati batu dalam penswastaan kesihatan penjaja oleh Kementerian Kesihatan yang akan menambahkan beban kewangan serta hanya memanfaatkan segelintir pihak sementara kebanyakan akan rugi.