Skip to content

Dr Akmal patut mencontohi pendekatan matang YB Duyong dalam menangani insiden Jalur Gemilang terbalik

Saya ingin merakamkan penghargaan kepada YB Mohd Noor Helmy, ADUN Duyong, atas cara beliau menangani insiden Jalur Gemilang yang kelihatan terbalik di sebuah premis kilang dalam Negeri Melaka — satu isu yang berpotensi disensasikan, namun berjaya dikendalikan dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan.

Daripada terus meniup sentimen kemarahan atau membuat tuduhan secara pra-matang, YB Helmy memilih untuk menjalankan siasatan terlebih dahulu — termasuk mendapatkan rakaman CCTV kejadian — sebelum membuat sebarang kenyataan. Hasil siasatan tersebut menunjukkan bahawa Jalur Gemilang itu pada asalnya dipasang dengan betul, namun akibat tiupan angin, bendera tersebut telah tercabut dan tersangkut, lalu kelihatan seolah-olah dipasang secara terbalik.

Ini contoh kepimpinan yang wajar diteladani: bertindak berdasarkan fakta, bukan emosi; menyiasat dahulu sebelum membuat kenyataan; dan memberi penjelasan kepada orang awam bagi meredakan kekeliruan, bukan menyalakan api perpecahan.

Sebagai simbol kedaulatan negara, Jalur Gemilang memang sewajarnya dihormati. Namun, tidak semua insiden melibatkan bendera negara perlu dijadikan medan untuk berpolitik murahan atau menyemai kebencian. Kita mesti bezakan antara kecuaian, kemalangan dan perbuatan sabotaj yang disengajakan. Jika ada kesalahan, serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang.

Dalam hal ini, Dr Akmal — sebagai EXCO kerajaan negeri dan Ketua Pemuda UMNO — seharusnya mengambil iktibar daripada pendekatan YB Helmy. Kita perlukan pemimpin yang mendidik masyarakat, bukan yang membakar emosi demi keuntungan politik jangka pendek.

Malaysia memerlukan politik berasaskan fakta, kesederhanaan dan semangat muhibah.