Skip to content

Drpd menepuk dada dan cabar mencabar, lebih wajar Mustafa Ali selesaikan perselisihan di Majlis Pimpinan

Daripada menepuk dada dan cabar mencabar, lebih wajar Mustafa Ali menyelesaikan perselisihan Pas-DAP di Majlis Pimpinan

Hubungan Pas-DAP pada peringkat tertinggi dilihat semakin regang ekoran kenyataan terbaru Setiausaha Agung Pas Dato’ Mustafa Ali yang mencabar Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk “bersemuka” secara terbuka bagi “menuntukan siapa yang berbohong atau sebaliknya” dalam isu usaha memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang.

Dato’ Mustafa terus menepuk dada menyelar Guan Eng sebagai “mulut celupar” sambil menafikan bahawa pimpinan tertinggi Pas pernah mempersetujui dasar kerajaan negeri Pulau Pinang untuk meluluskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan pada tahun 2012.

Sepertimana pernah dijelaskan, Setiausaha Agung DAP telah menghubungi Dato’ Mustafa serta Presiden Pas Dato’ Seri Tuan Guru Hadi Awang sendiri melalui telefon untuk membincangkan isu ini. Menurut Guan Eng, Dato’ Mustafa dan Dato’ Seri Hadi tidak pun membantah tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang pada ketika itu. Malah, Adun Pas di Pulau Pinang juga tidak membantah atau membangkang apabila rang undang-undang enakmen tersebut diluluskan di Dewan Undangan Negeri.

Pilihan raya kerajaan tempatan termasuk dalam dasar PR

Namun begitu, Dato’ Mustafa berkeras bahawa tiada persetujuan yang dicapai mengenai isu ini, sambil menyaran bahawa Guan Eng perlu memahami pilihan raya kerajaan tempatan tidak termasuk dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Hujah Dato’ Mustafa ini juga kurang tepat kerana Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang dipersetujui oleh ketiga-tiga parti komponen dengan amat jelas mengandungi ayat yang berbunyi: “Mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan … secara demokratik.” Dalam konteks ini, apakah tidak usaha kerajaan negeri Pulau Pinang itu selari dengan dasar “mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan secara demokratik?”

Pada hemat saya, tiada gunanya perbalahan diteruskan secara terbuka kerana tiada yang untung melainkan musuh-musuh politik Pakatan Rakyat. Begitu juga tiada gunanya isu Mei 13 dibangkitkan dalam hal ini sepertimana yang dilakukan oleh Dato’ Seri Hadi, kerana keadaan negara dari segi demografi dan taraf sosio-ekonomi sudah pun jauh berbeza berbanding 46 tahun lalu.

Selesaikan di Majlis Pimpinan ataupun saman sahaja

Sekalipun Dato’ Mustafa tidak bersetuju dengan Guan Eng, beliau patut menyelesaikan perselisihan faham ini secara tertutup dalam forum tertinggi, iaitu melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat. Dalam pada itu, adalah paling afdal sekiranya Dato’ Mustafa boleh memujuk Presiden Pas untuk menghadiri mesyuarat tersebut agar kesudahan dapat dicapai dalam masalah yang berlarutan ini.

Pun begitu, jika Dato’ Mustafa benar-benar merasai bahawa Setiausaha Agung DAP tidak berlaku jujur mengenai perkara ini, maka beliau hanya perlu mengambil tindakan menyaman Guan Eng.

Biarpun apa tindakan Pas dan Dato’ Mustafa, biarlah isu ini diselesaikan secara dalaman atau dalam mahkamah, daripada terus tuduh menuduh dan cabar mencabar secara terbuka.