Skip to content

Dua cabaran untuk pengundi di Bagan Jermal, Sungai Puyu, Bagan Dalam, dan Prai – untuk menghentikan kemerosotan yang disaksikan negara kita dalam beberapa dekad yang lepas dan untuk mengundi demi masa hadapan Pulau Pinang dan Malaysia supaya Malaysia dapat jadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia

Dua puluh lapan tahun yang lepas, pada bulan September 1995, para pengundi di Bagan telah menyelamatkan DAP dan demokrasi di Malaysia selepas DAP menyaksikan kekalahan terburuknya dalam tiga dekad semasa pilihan raya umum 1995 di mana gabungan kerajaan telah menang dengan majoriti lima per enam di Parlimen.

Dalam Pilihan Raya 1995 pada bulan April, P. Patto menang dengan majoriti 118 undi.

Saya minta kemenangan majoriti 5,000 undi untuk menyelamatkan DAP dan demokrasi dalam pilihan raya kecil yang menyusul dan Lim Hock Seng telah menang di PRK Bagan pada 9 September 1995 dengan majoriti 11,802 undi dan Bagan diberikan gelaran Bandar Demokrasi.

Pada 12 Ogos 2023, para pengundi di Bagan Jerna, Sungai Puyu, Bagan Dalam, dan Prai akan ke pusat mengundi sekali lagi untuk memilih kerajaan baharu untuk Pulau Pinang.

Kita mahukan kemenangan yang kukuh dan hebat di keempat-empat kerusi ini untuk memastikan Chow Kon Yeow akan menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang sekali lagi dengan mandat yang kuat.

Tetapi, rakyat di keempat-empat kerusi ini ada dua cabaran tambahan, kerana 12 Ogos 2023 ini bukan sahaja satu tarikh yang penting untuk Pulau Pinang, tetapi ia juga sangat penting untuk Malaysia.

Mereka ada dua cabaran.

Dalam beberapa dekad yang lepas, Malaysia telah menyaksikan kemerosotan, ditinggalkan di belakang Singapura, Taiwan, Korea Selatan, Hong Kong, Vietnam, dan kini berada dalam bahaya ditinggalkan di belakang China, Indonesia, dan India.

Kita bukan sahaja perlu hentikan kemerosotan ini, tetapi kita perlu mengundi untuk memastikan yang pada zaman anak-anak dan cucu-cucu kita kelak, Malaysia akan bangkit menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Pulau Pinang hari ini selepas ditadbir Pakatan Harapan sejak 2008 sangat berbeza dengan Pulau Pinang pada era di mana seorang Perdana Menteri telah menggelar negeri ini sebagai “Darul Sampah”.

Negeri ini telah memenangi anugerah antarabangsa dan pengiktirafan untuk makanan, pantai, alam semula jadi, dan warisan bersejarahnya. Ramai yang menyenaraikan Pulau Pinang sebagai Bandar Mesti Lawat.

Pada tahun 2008, George Town diisytiharkan sebagai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan pada tahun 2021 Bukit Pulau Pinang diisytiharkan sebagai Rizab Biosfera UNESCO.

Tetapi, Pulau Pinang boleh capai banyak lagi.

Pulau Pinang perlu menjadi negeri barisan hadapan untuk membolehkan Malaysia menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia dan memberikan pimpinan intelek untuk perubahan sebegini.

Inilah cabaran terbesar kepada Pulau Pinang dan Malaysia.