Ketika Kerajaan Persekutuan mempersiapkan negara untuk beralih dari pandemik ke musim endemik, banyak yang perlu dilakukan selain memberi fokus kepada kadar vaksinasi. Apabila beralih kepada endemik, gaya hidup norma baharu menuntut masyarakat memantau kesihatan mereka dengan melakukan ujian kendiri secara berkala.
Minggu ini saya telah melawat 5 pasar pagi yang terletak di dalam kawasan Parlimen Segambut, iaitu:
- Taman Bukit Maluri;
- Taman Sri Segambut;
- Taman Kok Doh;
- Taman Bamboo; dan
- Taman Segambut
serta mengagihkan kit ujian RTK kepada para peniaga di sana. Kebanyakkan daripada mereka apabila mendapat kotak tersebut kelihatan seperti kebingungan dan kemudian membelek-belek kotak itu dengan pelik. Saya terpaksa terangkan kepada mereka tetapi jelas ketara mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenai penggunaan kit ujian RTK ini.
- Turunkan harga: Perkara ini timbul kerana penggunaan kit ujian RTK masih baharu di dalam masyarakat. Ia juga disebabkan oleh harga kit ujian RTK yang agak mahal di pasaran walaupun Kementerian Kesihatan telah menetapkan harga siling RM19.90 bagi setiap kit. Dengan RM19.90, sebuah keluarga yang miskin boleh membeli 2 papan telur untuk keperluaan selama beberapa hari. Di Parlimen, kami melakukan ujian dua kali seminggu bagi memantau penyebaran Covid. Lebih kurang RM40 setiap Ahli Parlimen dibelanjakan. Berapa ramai keluarga yang mampu memperuntukkan RM40 seminggu untuk setiap ahli keluarga mereka? Oleh itu, meningkatkan kemampuan dan kemudahan untuk kit ujian RTK adalah sangat penting. Turunkan harga kit ujian RTK supaya ramai keluarga tidak perlu memilih antara membeli makanan atau melakukan ujian kendiri.
- Tunjukkan caranya: Selain itu, Kerajaan perlu menggerakkan sumber multimedia mereka (TV nasional, papan iklan (bukannya mempamerkan gambar Menteri), SMS MKN (bukan spam mesej) untuk menunjukkan bagaimana menggunakan kit ujian RTK ini dengan betul. Bergantung sepenuhnya kepada manual arahan yang dibekalkan bersama kit ujian tidak mencukupi, terutamanya warga emas yang tidak dapat membaca kerana pelbagai faktor. Video dalam pelbagai bahasa dengan arahan jelas juga perlu dikongsi kepada orang ramai.
Kesimpulannya, sebagai persediaan menghadapi Covid-19 sebagai suatu endemik, kemampuan dan kesedaran berkaitan penggunaan kit ujian RTK amat diperlukan oleh kita semua. Penggunaan kit ujian RTK dengan tidak betul hampir sama seperti tidak mengunakan kit ujian RTK.