Skip to content

Dua tahun menunggu masih gagal menerima Diploma Kemahiran Malaysia

Dua orang bekas pelajar sebuah kolej vokasional telah datang berjumpa dengan saya di Parlimen pada hari ini. Sridaran a/l Rajan (24) dan Mohonraj a/l Krishan adalah bekas pelajar Malaysian Institute Technology Academy Sdn Bhd di Kota Kamuning, Shah Alam.

Kedua-dua pelajar ini telah menamatkan kursus Diploma Kemahiran Malaysia pada 17 Februari 2014. Setelah 3 tahun menjalani kursus dalam bidang Teknologi Mekatronik kedua-dua pelajar ini tidak diberikan sijil Diploma setelah tamat kursus.

Walaupun pelbagai usaha telah diambil oleh pelajar-pelajar ini tetapi mereka masih gagal untuk menerima Diploma daripada pihak kolej. Pelbagai alasan yang tidak munasabah telah diberikan oleh pihak kolej.

Saya juga telah menghubungi kolej tersebut sebanyak dua kali tetapi tidak menerima apa-apa jawapan yang positif. Adakah pelajar-pelajar ini telah menjadi mangsa penipuan pihak-pihak tertentu.

Pihak kolej juga telah menghantar satu watsapp message mengatakan bahawa pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran telah kehabisan kertas sijil dan belum mendapat stok baru dari pihak pembekal. Ini adalah satu alasan yang memang tidak masuk akal.

Pihak Kementerian Sumber Manusia sedang melaksanakan pelbagai program kemahiran untuk membantu rakyat Malaysia mempertingkatkan kemahiran dan kebolehan berdaya saing. Tetapi, adalah tidak memadai sekadar mewujudkan kursus-kursus tertentu atau memberi pengiktirafan kepada kolej-kolej teretentu.

Pihak Kememterian Sumber Manusia melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia harus memantau perjalanan kolej-kolej ini. Kementerian harus memastikan kolej-kolej ini mempunyai tenaga pengajar berkelayakan yang mencukupi.

Piawaian kursus-kursus yang ditawarkan harus memenuhi keperluan tenaga kerja dalam negara. Tetapi, saya rasa pihak Kementerian kurang mengambil peduli tentang perjalanan kursus-kursus yang diiktiraf olehnya.

Pelajar-pelajar yang telah tamat kursus harus diberi sijil daripada pihak kementerian dan bukannya sepucuk surat daripada pihak kolej yang tidak mempunyai nilai.

Pelajar-pelajar ini akan hilang hala tuju kerana terpaksa menganggur untuk tempoh yang lama atau terpaksa bekerja di tempat yang berlainan bidang pengkhususan. Mereka juga akan hilang banyak peluang-peluang lain seperti untuk melanjutkan pelajaran ataupun kenaikan pangkat.

Tambahan pula, pelajar-pelajar ini terpaksa membayar pinjaman yang diberikan oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK). Dalam kes 2 orang bekas pelajar itu, mereka terpaksa membayar balik pinjaman lebih RM25,000 dengan kadar faedah 5%.

Ini adalah tidak adil. Mereka masih tidak menerima sijil diploma tetapi terpaksa membayar hutang setiap bulan. Sudah 2 tahun berlalu tetapi tidak ada apa-apa perkembangan daripada pihak kolej mahupun pihak kementerian.

Saya berharap pihak kementerian akan mennyiasat kes ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Ini adalah penting untuk menjamin masa hadapan anak-anak muda yang mempercayai kolej-kolej swasta yang telah diberi pengiktirafan pihak kementerian.