Dua orang Timbalan Menteri harus menghentikan tindakan buli terhadap Veveonah Mosibin dan memberikan tumpuan untuk menaiktaraf perkhidmatan kesalinghubungan internet di Sabah, khususnya di 50 tapak dalam 13 buah desa di Sabah yang telahpun diluluskan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Kedua-dua mereka, iaitu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin serta Timbalan Menteri Kewangan Abdul Rahim Bakri masih berdegil mempertahankan dakwaan mereka bahawa Veveonah, yang hanya berumur 18 tahun, telah menipu.
Dalam video yang tular, Veveonah menyatakan bahawa beliau terpaksa memanjat pokok di Pitas untuk mendapat liputan internet bagi menduduki peperiksaan kerana kesalinghubungan internet yang serba kekurangan.
Malah, Zahidi menyalahkan DAP mahu mempolitikkan isu ini, sedangkan pihak kami tidak pernah berjumpa dengan Veveonah dan hanya memberikan ulasan selepas Zahidi menyerang pelajar 18 tahun tersebut dalam ucapannya di Dewan Negara. Sekiranya kedua-dua Timbalan Menteri mahu juga terus mencari salah Veveonah, maka DAP rela mereka menukar sasaran, melepaskan geram ke atas DAP dan berhenti membuli Veveonah.
Kedua-dua Timbalan Menteri harus buat kerja dan laporkan perkembangan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (National Fiberisation and Connectivity Plan atau NFCP) berjumlah RM290 juta untuk 152 tapak yang diluluskan oleh Kerajaan PH. NFCP dirancang untuk merapatkan jurang digital di antara kawasan bandar dan desa agar kawasan pedalaman juga mendapat perkhidmatan internet dan peluang yang sama rata.
Daripada 152 tapak ini, 50 atau 33% adalah di Sabah, dan kawasan-kawasan ini akan menikmati kelajuan internet sehingga 30 mbps. 50 tapak ini berada dalam 13 buah desa iaitu Nabawan, Tenom, Keningau, Papar, Tawau, Semporna, Kunak, Beluran, Tongod, Tuaran, Kudat, Kota Marudu and Pitas. Secara kebetulan, Pitas ialah daerah di mana terletaknya kampung Veveonah.
Keengganan kedua-dua Timbalan Menteri menjelaskan status NFCP, dan sebaliknya secara terus menerus menyerang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) tersebut, menunjukkan sikap angkuh mereka. Saya berada di Sabah semasa Zahidi menyerang Veveonah di Dewan Negara dan rakyat Sabah amat marah kerana berasa mereka telah dihina. Kerajaan Perikatan Nasional harus menghormati rakyat Sabah seperti Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.