Skip to content

Dukung Reformasi Demi Pertiwi

Agenda reformasi yang diketengahkan Pakatan Harapan sebenarnya pun pernah disokong penuh oleh PAS sejak zaman bermulanya reformasi, tidak kiranya ketika zaman Barisan Alternatif atau Pakatan Rakyat.

Reformasi adalah berlandaskan prinsip tadbir urus baik (good governance) dan keadilan sosial (social justice).

Prinsip sebegini adalah digunapakaikan seluruh umat manusia, tidak mengira sempadan negara, agama & kaum.

Adalah amat janggal untuk Presiden PAS menyerang nilai universal demi menjatuhkan musuh politik.

Saya mencadangkan Presiden PAS untuk membaca kes mahkamah Che Omar Che Soh untuk lebih mengetahui penghakiman mahkamah tentang apakah itu negara sekular khususnya apabila Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan kemajmukan dan kepelbagaian.

Tidak perlu untuk koyak apabila mendengar tentang frasa “sekular” atau mengaitkan segalanya dengan Amerika Syarikat.

Sekular tidak bermaksud kerajaan melarang individu untuk mengamalkan agama masing-masing.

Malaysia adalah sebuah negara contoh lantaran semua yang mempunyai latar belakang yang berbeza dapat hidup harmoni namun ruang kebebasan rakyat secara lumrahnya menjadi semakin sempit akibat pentadbiran PAS di beberapa negeri.

Belum sebut lagi bilangan kes dadah yang semakin meningkat di beberapa negeri, yang makan cili akan rasa pedas.

Saya yakin rakyat berbilang agama menyokong sesama lain untuk mengejar prinsip tadbir urus baik & keadilan sosial tanpa mengetepikan fahaman agama masing-masing.

Setiap rakyat hanya mengharapkan cara kehidupan masing-masing dihormati tanpa campur tangan berlebih-lebihan oleh pentadbiran yang bertunjangkan “wakil Tuhan”.

Rakyat Malaysia ingin memastikan semangat pembinaan negara yang berasaskan kepelbagaian dihormati.

Saya masih ingat PAS beria-ria untuk menarik sokongan bukan Islam dalam muktamar baru-baru ini, namun kenyataan Presiden PAS membuktikan sebaliknya.

Kalau tidak inginkan reformasi, pastikan pentadbiran di SG4 lebih baik, bukannya lebih teruk.