Oktober 27, 2015
Duta Besar Herman Prayitno
Kedutaan Besar Republik Indonesia
No. 233, Jalan Tun Razak,
50400 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Yang Berbahagia Duta Besar,
Menangani Masalah Jerebu Merentas Sempadan yang Mengakibatkan Kerugian yang Tidak Terkira ke atas Kesihatan Rakyat dan Ekonomi Negara
Kami berasa amat khuatir terhadap masalah pencemaran jerebu merentas sempadan yang telah menjejaskan kesejahteraan hidup jutaan rakyat di kawasan terbabit, termasuklah di Malaysia dan Indonesia. Ingin kami sampaikan rasa simpati dan solidariti kepada segala rakyat Indonesia yang mengalami penderitaan lebih teruk akibat berada dekat dengan punca kebakaran.
Di Malaysia, apabila tahap kualiti udara semakin buruk, barangkali sekolah kena tutup dan ia menimpa setengah juta murid dan pelajar. Kesan negatif ke atas ekonomi negara disebabkan program-program terbatal, ketibaan pelancong yang menjunam serta penurunan produktiviti tenaga kerja; walaupun sukar dinilai pada waktu sekarang – ia sememangnya amat besar dan bersifat tidak boleh diperbaiki.
2. Jerebu adalah kejadian sampingan insiden kebakaran hutan yang telah dan masih berlaku di dalam wilayah Indonesia, khususnya di Sumatra dan Kalimatan. Selain daripada kehidupan rakyat Malaysia yang terjejas, kami turut sedar ia menyebabkan juga kesusahan dan keperitan kepada jutaan rakyat Indonesia. Kami tahu akan usaha-usaha kerajaan Indonesia dalam menangani masalah kebakaran hutan dan pencemaran jerebu telah bertambah giat. Misalnya, Presiden Joko Widodo telah meratifikasi Perjanjian Jerebu Merentas Sempadan ASEAN (ASEAN Transboundary Haze Agreement) pada 16hb September, 2014. Namun demikian, malangnya pencemaran jerebu masih memberi ancaman yang amat serius dan berulang kepada kami.
3. Sebagai Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik iaitu parti politik yang kedua terbesar di Parlimen Malaysia, kami terpanggil untuk mengemukakan beberapa syor seperti berikut kepada kerajaan Indonesia demi mengatasi pencemaran jerebu:
- Bahawa kerajaan Indonesia mempertimbangkan degan serius tawaran-tawaran serta bantuan teknikal yang ingin diberi oleh kerajaan Malaysia dan Singapura atas semangat kerjasama dan solidariti ASEAN untuk menghantar alat kelengkapan dan ahli-ahli bomba professional untuk mengawal dan memadamkan kebakaran hutan di Indonesia;
- Bahawa kerajaan Indonesia mempercepatkan proses pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan Malaysia di mana mekanisme kerjasama yang terperinci untuk mengatasi pencemaran jerebu akan dimasukkan. Kami dimaklumi oleh Menteri Alam Sekitar Malaysia, Yang Berhormat Wan Junaidi Tuanku Jaafar sewaktu persidangan Parlimen baru-baru ini pada 21hb Oktober 2015 bahawa sudah ditangguhkan dua kali rancangan pemeteraian MoU tersebut dari tarikh sasaran asal pada September 2015. Kami menyeru supaya pemeteraian MoU ini diberi keutamaan dan dipercepatkan;
- Menyedari fakta bahawa terdapat individu-individu dan/atau syarikat-syarikat Malaysia yang terlibat dalam pembakaran hutan di Indonesia termasuk sekurang-kurangnya satu kes yang telah disabit kesalahan oleh mahkamah Indonesia, kami menyeru supaya kerajaan Indonesia berkomunikasi dengan lebih efektif kepada kerajaan Malaysia dan juga memberitahu kepada awam mengenai maklumat terperinci syarikat Malaysia yang dituduh dan/atau yang disabit kesalahan membenarkan aktiviti pembakaran terbuka di dalam kawasan yang dikawal mereka di Indonesia. Ini penting supaya tindakan selanjutnya boleh diambil terhadap syarikat atau individu berkenaan di Malaysia;
- Kami juga berharap agar kerajaan Indonesia menunjukkan komitmen terhadap usaha sama antara kerajaan yang lebih teguh di peringkat ASEAN sewaktu Mesyuarat Peringkat Menteri Alam Sekitar ASEAN dan Persidangan Parti-Parti Perjanjian Jerebu yang bakal berlangsung pada akhir Oktober 2015 di Hanoi, Vietnam; dan
- Akhirnya. kami mengesyorkan supaya kerajaan Indonesia mengambil bahagian secara aktif dalam kegiatan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit yang bakal ditubuhkan pada masa yang terdekat ini demi memastikan amalan penanaman sawit yang lestari dapat diperluas dan seterusnya kejadian kebakaran terbuka dapat dikurangkan ke tahap yang minima.
Ingin kami cadangkan supaya sebarang bentuk kerjasama dan usaha-usaha menangani pencemaran jerebu berjalan sepanjang tahun, bukan hanya dilakukan secara ad-hoc sewaktu ada pencemaran jerebu. Hanya dengan usaha pemantauan dan penguatkuasaan yang rapi sepanjang tahun, barulah boleh diharap usaha pembasmian pencemaran jerebu akhirnya dapat berjaya. Maka dengan itu, saya mengalu-alukan maklum balas yang tepat pada masanya serta jawapan positif dari pihak anda.
Sekian, terima kasih.
Yang Benar,
(LIM GUAN ENG)
Setiausaha Agung,
Parti Tindakan Demokratik,
Malaysia.