Sehingga hujung tahun 2016, levi pekerja asing dibayar oleh pekerja-pekerja itu sendiri melalui potongan gaji. Tetapi, secara tiba-tiba kerajaan mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2017, levi pekerja dibayar oleh majikan.
Pengumuman ini telah membawa banyak reaksi negatif dikalangan majikan-majikan. Pertubuhan Majikan Malaysia (MEF) juga telah menyatakan rasa tidak puas hati dengan dasar baru kerajaan yang telah mengubah beban levi dari bahu pekerja asing ke bahu majikan.
Saya bukannya mahu membela nasib majikan. Tetapi, saya kurang mengerti rasionalisasi kerajaan berbuat demikian. Adakah melalui dasar ini kerajaan cuba meringankan beban pekerja asing dan menambahkan beban majikan yang mengupah mereka? Adakah ini merupakan satu strategi yang disiratkan dalam dasar baru Komitmen Mandatori Majikan (EMC) oleh kerajaan untuk menghalang majikan-majikan menggunakan tenaga buruh asing?
Pada pandangan saya, beban tambahan kepada majikan akan merumitkan lagi masalah pasaran buruh asing di negara kita. Apabila majikan dipaksa menanggung kos levi, ini akan mendorong mereka mengupah pekerja asing tanpa izin (PATI) untuk mengelak beban tambahan itu. Ini bermakna jumlah PATi di negara ini akan terus membesar.
Peliknya, kerajaan tidak membincangkan polisi baru ini dengan pengiat industri dan pertubuhan-pertubuhan yang mewakili majikan sebelum dasar ini dikuatkuasakan. Ini adalah tidak betul. Saya juga tidak mengerti kenapa kerajaan membuat sesuatu dasar tanpa berunding dengan pihak-pihak yang berkepentingan?
Tambahan lagi, pengumuman dasar baru ini dibuat sehari sebelum tarikh pelaksanaannya. Kerajaan juga tidak memberi sebarang tempoh penangguhan. Adakah ini adil bagi pihak majikan?
Apa yang paling membimbangkan saya ialah apabila kos atau beban tambahan itu dipindahkan oleh majikan kepada pengguna. Akhirnya yang menjadi mangsa dasar baru ini ialah pengguna. Mereka terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk barangan yang mereka beli. Secara kesimpulanya, saya berpendapat, bayaran levi yang dikenakan terhadap majikan akhirnya terpaksa ditanggung oleh rakyat negara kita. Pekerja-pekerja asing pula akan menikmati keuntungan daripada dasar baru ini.