Skip to content

Empat calon Perdana Menteri Malaysia ke-10 adalah Zahid Hamidi, Muhyiddin Yassin, Hadi Awang, dan Anwar Ibrahim, bukannya Mahathir Mohamad atau Shafie Apdal

Saya mahu memberikan komen mengenai lapan perkara mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 dalam sidang media ini.

Pertamanya, Pilihan Raya Umum ke-15 adalah pilihan raya umum parlimen untuk mengundi gabungan mana yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10, bukannya untuk mengundi Kerajaan Negeri Sabah atau menentukan siapa yang akan menjadi Ketua Menteri Sabah.

Kedua, empat orang calon Perdana Menteri ke-10 dalam Pilihan Raya Umum ke-15 adalah Presiden UMNO/Barisan Nasional Zahid Hamidi, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden PAS Hadi Awang, dan Presiden Pakatan Harapan Anwar Ibrahim.

Presiden Pejuang, Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Warisan, Shafie Apdal, bukanlah salah seorang dari calon Perdana Menteri Malaysia yang ke-10, dan kedua-dua mereka tidak akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

Ketiga, Sabah tidak boleh menjadi stabil dan makmur melainkan Malaysia stabil dan makmur. Tidak mungkin untuk Sabah menjadi stabil dan makmur sekiranya Malaysia menjadi sebuah negara gagal dan kleptokratik dalam 30 ke 40 tahun yang akan datang.

Keempat, tidak ada mana-mana negara di dunia di mana kestabilan dan kemakmuran di bina di atas rasuah yang berleluasa dan kleptokrasi. Sekiranya Malaysia mahu menikmati kestabilan dan kemakmuran, perlu ada perang besar-besaran melawan rasuah. Najib Razak bertanggungjawab terhadap skandal gergasi 1MDB, tetapi tidak mungkin skandal 1MDB ini dapat berterusan selama bertahun-tahun lamanya sekiranya terdapat sebuah Kabinet yang terbentuk daripada kalangan orang-orang yang jujur dan telus untuk menghentikan skandal ini.

Kelima, UMNO tidak pernah terpecah belah sebegini kerana ahli-ahli UMNO kini terpaksa mempertahankan rasuah dan para pemimpin UMNO tidak mempunyai wang.

Tidak ada lagi wang 1MDB seperti dalam dua pilihan raya umum yang lepas pada tahun 2013 dan 2018, ketika itu, wang mengalir seperti air kerana skandal 1MDB dan rakyat Malaysia kini perlu menanggung salah guna dana sebegini, dengan hutang yang masih berbaki RM32.08 billion setakat 30 Jun 2022 – menurut apa yang dikatakan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Parlimen.

Masalah untuk UMNO bukanlah tiada wang, tetapi kekurangan wang dan hulu balang UMNO di peringkat negeri dan bahagian memegang wang-wang ini memandangkan UMNO mungkin akan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Akar umbi UMNO patut menuntut supaya hulu balang UMNO di peringkat negeri dan bahagian untuk melepaskan 100% wang yang dipegang mereka untuk tujuan kempen.

Keenam, pimpinan UMNO pada hari ini patut membenarkan ahli-ahli UMNO untuk kembali kepada prinsip-prinsip asas pembinaan negara yang dipegang oleh empat orang Presiden UMNO yang terawal, Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn.

Mereka patut dibenarkan untuk mengecam rasuah dan salah guna kuasa, malah mengecam skandal 1MDB tanpa berhadapan dengan tindakan disiplin.

Ketujuh, Pakatan Harapan boleh menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 memandangkan angin perubahan sedang bertiup dalam negara, tetapi perkara ini bergantung kepada kadar keluar mengundi yang melebihi 80%. Saya menyeru semua pengundi dalam negara dan dari Diaspora Malaysia di seluruh dunia untuk bukan sahaja mengundi, tetapi gesa ahli keluarga, jiran, dan rakan-rakan mereka untuk keluar mengundi dan menyelamatkan Malaysia dari menjadi sebuah negara gagal dan kleptokratik dalam 30 ke 40 tahun yang akan datang demi anak-anak dan cucu-cucu kita.

Keempat, petugas kempen PRU15 Warisan perlu berhenti mengelirukan orang ramai dengan mengatakan di Lahad Datu bahawa satu undi untuk Warisan adalah satu undi untuk Roket, memandangkan Warisan telah menghantar calon-calonnya untuk melawan calon-calon DAP di Sabah dan Malaya, termasuklah di Lahad Datu.