Skip to content

Enam kali pilihanraya, janji nak bina Klinik Kesihatan Stungkor – sampai sekarang habuk pun tak ada!

Pada 30 Jun 2013 Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya telah meluluskan pembinaan 3 hospital baru di Sarawak di Lawas, Petra Jaya dan Sri Aman.

Tiga tahun selepas pengumuman Timbalan Menteri Kesihatan dibuat, satu lagi pengumuman dibuat oleh Kementerian Kesihatan; kali ini oleh Menteri Kesihatan pula, Datuk Seri Dr S. Subramaniam pada 30 April tahun ini, dalam musim pilihanraya negeri Sarawak ini.

Bayangkan kejutan saya apabila membaca pengumuman oleh Menteri Kesihatan ini minggu lepas meskipun pengumuman telah dibuat 3 tahun lepas untuk pembinaan yang sama!

Rakyat Sarawak cuba ditipu dan diperbodohkan lagi dengan janji kosong Barisan Nasional – satu selepas pilihanraya umum 2013 and sekali lagi sebelum pilihanraya negeri 2016.

Meskipun tonggak pimpinan di Sarawak sudah bertukar dari tangan Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud kepada Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan bin Satem, namun tidak nampak habuk pun dari pembinaan ketiga-tiga hospital ini.

Di Tasik Biru, selepas 10 tahun, penduduk-penduduk masih menantikan perubahan dari segi infrastruktur di Hospital Daerah Bau yang masih dalam keadaan yang daif dan teruk dan menunggu pembinaan satu Klinik Ibu dan Bayi Stungkor yang telah dijanjikan 15 tahun yang lepas.

Tanah bagi pembinaan klinik di Stungkor telahpun dikenalpasti dan diluluskan pada tahun 2004 oleh kerajaan negeri di Lot Lot 405, Blok 9, Pejabat Daerah dan Tanah Stungkor dan kini di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Tanah Persekutuan.

Sudah masuk tahun ke-16 dan penduduk Tasik Biru masih lagi menunggu sebuah Klinik Kesihatan Stungkor yang keadaan tanahnya seperti hutan disana.

Adakah klinik di Stungkor akan akan dibina atau tidak? Jika akan dibina bilakah ianya akan dibina?

Sudah tiga pilihanraya umum 2004, 2008 dan 2013 berlalu dan tiga lagi pilihanraya negeri Sarawak 2006, 2011 dan kini 2016 dan masih tiada apa-apa pun pembinaan telah bermula di tapak tersebut yang penuh dengan semak.

Adalah cukup jelas kesihatan penduduk di Tasik Biru tidak menjadi keutamaan bagi ADUN dan Ahli Parlimen Sarawak Barisan Nasional, termasuklah semua calon Barisan Nasional dalam pilihanraya negeri Sarawak ini.

Berapa lama lagi kesihatan penduduk-penduduk Tasik Biru dipermainkan dan digadaikan oleh kerajaan negeri Sarawak dibawah pimpinan Tan Sri Adenan Satem dan Barisan Nasional? Adakah semua Menteri Kabinet, Ahli Parlimen dan ADUN Barisan Nasional Sarawak akan menghantar ahli keluarga mereka ke Hospital Bau jika memerlukan rawatan dengan keadaan infrastruktur hospital Bau yang begitu kekurangan? Jika tidak, mengapa diharapkan rakyat warga Sarawak menghantar ahli keluarga mereka kesana?

Enam kali pilihanraya, janji nak bina Klinik Kesihatan Stungkor – sampai sekarang habuk pun tak ada! Inilah janji kosong ala Barisan Nasional.