Skip to content

Enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos adalah pertarungan di antara masa hadapan dan masa lampau – sama ada untuk sebuah Malaysia yang diasaskan kepada perpaduan semua rakyatnya, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, jantina, atau umur atau penafian konsep ini

Saya gembira dapat hadir di majlis pelancaran Kad Laporan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor Kampung Tunku, Lim Yi Wei.

Enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos adalah pertarungan di antara masa hadapan dan masa lampau – sama ada untuk sebuah Malaysia yang diasaskan kepada perpaduan semua rakyatnya, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, jantina, atau umur atau penafian konsep ini.

Keputusan enam pilihan raya negeri di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu tidak akan mengubah kedudukan Kerajaan Perpaduan Anwar di peringkat kebangsaan, tetapi ia akan menentukan sama ada kita akan mampu untuk menetapkan semula dan kembali semula kepada prinsip-prinsip asal pembinaan sebuah negara Malaysia majmuk yang telah diterapkan ke dalam Perlembagaan dan Rukun Negara oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara (termasukalah tiga Perdana Menteri terawal negara yang juga merupakan Presiden UMNO) – prinsip-prinsip raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, Islam sebagai agama rasmi dan kebebasan beragama untuk kepercayaan yang lain, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan pemeliharaan serta pengayaan bahasa-bahasa lain, tadbir urus yang baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, kerajaan yang bersih dan jujur, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, pengakhiran segala bentuk kezaliman dan ketidakadilan dalam negara, sistem ekonomi, pendidikan, kesihatan, dan sosial yang bertaraf dunia, dan perpaduan, persefahaman, dan keharmonian dari kepelbagaian masyarakat majmuk berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya.

Pilihan raya ini akan menentukan sama ada Malaysia akan berjaya melahirkan juara dunia sekali lagi dan menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, dan tamadun kepada dunia atau sama ada Malaysia akan menjadi sebuah negara yang akhirnya berpecah belah, gagal, dan korup.

Tidak ada permusuhan antara kaum dan agama dan tidak ada mana-mana kaum atau agama yang mahu menghapuskan mana-mana kaum atau agama yang lain, tetapi ada oportunis politik yang mahu melaga-lagakan dia antara satu kaum dengan kaum yang lain dan satu agama dengan agama yang lain.

Malaysia hanya akan berjaya sekiranya semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, jantina, atau umur dapat mencapai potensi penuh mereka. Alternatifnya adalah untuk menerima nasib seperti Sri Lanka.

Sejak dari awal penubuhan DAP pada tahun 1966, kita telah berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, kawasan, jantina, atau umur.

Perkara ini merupakan satu tugas yang amat berat, tetapi kita tidak pernah terpesong dari cabaran untuk membina sebuah Malaysia yang hebat, adil, demokratik, progresif, dan makmur untuk semua rakyat Malaysia.

Kerana inilah, dalam pilihan raya umum pertama yang disertai DAP pada tahun 1969, DAP meletakkan calon dari pelbagai latar belakang kaum, agama, dan jantina.

Menurut Bancian 2020, kira-kira separuh dari populasi, atau 9 juta rakyat Malaysia berada dalam kumpulan umur 15-30 tahun, dengan kira-kira 4.6 juta lelaki dan 4.32 juta wanita.

Dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat pertama DAP yang dipilih pada tahun 1968, pengerusi kebangsaan ketika itu berusia 44 tahun, setiausaha agung berusia 33 tahun, dan setiausaha organisasi kebangsaan berusia 27 tahun.

Hari ini, pimpinan DAP sudah semakin tua – Pengerusi DAP berusia 62 tahun, Setiausaha Agung berusia 46 tahun, dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan berusia 41 tahun.

Perkara ini adalah satu cabaran kepada pimpinan DAP untuk menjana semula dan menjadi lebih cakna dengan aspirasi golongan muda di Malaysia!