Enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini bukanlah tentang kaum atau agama kerana tidak ada mana-mana kaum atau agama di Malaysia yang sedang terancam, sebaliknya ia akan menentukan sama ada Malaysia dapat bangkit semula untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia yang mencapai lebih dari jangkaan terhadapnya.
Keputusan yang ideal adalah kemenangan majoriti dua pertiga untuk gabungan Pakatan Harapan–Barisan Nasional di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan dan prestasi yang lebih baik untuk gabungan PH–BN di Kedah, Kelantan, dan Terengganu.
Gabungan PAS dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) pula sedang bercakap untuk menyapu bersih keenam-enam negeri, walaupun Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, dalam wawancaranya dengan Reuters baru-baru ini telah kelihatan mengetepikan dakwaan yang dibuatnya sebelum ini bahawa PN boleh merampas kuasa di Pulau Pinang.
Pilihan raya negeri pada 12 Ogos untuk Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu akan menjadi satu ujian yang akan menentukan sama ada para pengundi di Malaysia akan ditenggelami oleh tsunami penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian dalam era media sosial.
Contohnya, kononnya kaum Melayu dan agama Islam sedang terancam, perkara ini disebarkan oleh dua orang pemimpin pernah menjadi Perdana Menteri negara selama hampir suku abad.
Sekiranya benar Melayu dan Islam sedang terancam selepas dua orang pemimpin ini sudah menjadi Perdana Menteri selama hampir suku abad, maka merekalah yang perlu bertanggungjawab kerana negara kita hanya berusia 66 tahun pada bulan hadapan.
Seorang lagi pemimpin politik pula telah menuduh saya sebagai kononnya seorang anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, dan komunis tetapi apabila dicabar untuk membuktikan tuduhannya ini, dia gagal untuk memberikan sebarang bukti dari kehidupan politik saya selama 58 tahun.
Isu sebenar enam pilihan raya negeri ini adalah sama ada Malaysia dapat bangkit semula untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia yang berjaya melepasi jangkaan dunia terhadapnya.
Semasa melancarkan Ekonomi Madani semalam, Anwar menyenaraikan visi ekonominya untuk negara yang merangkumi beberapa perkara yang menonjol seperti berikut:
- Menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia dari segi kadar keluaran dalam negara kasar. Malaysia buat masa ini berada di tempat ke-35.
- Berada dalam kedudukan 12 teratas dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD. Kita sedang berada di tempat ke-27.
- 45 peratus dari jumlah pendapatan untuk golongan pekerja. Sasaran sekarang di bawah Rancangan Malaysia ke-12 adalah 40 peratus menjelang 2025.
- 60 peratus kadar penyertaan pekerjaan oleh golongan wanita, meningkat dari 55.1 peratus pada tahun 2021.
- Tempat 25 ke atas dalam Indeks Pembangunan Manusia PBB. Tempat semasa adalah ke-62.
- Tempat 25 ke atas dalam Indeks Persepsi Rasuah. Tempat semasa adalah ke-61.
- Mengekalkan defisit fiskal dalam kadar tiga peratus KDNK. Defisit untuk tahun ini diunjurkan pada kadar lima peratus.
Saya sendiri percaya bahawa ada beberapa perkara yang menonjol dalam Ekonomi Madani yang tidak disertakan di sini, tetapi persoalan yang penting sekarang adalah sama ada Malaysia boleh ditetapkan semula hala tujunya dan dikembalikan kepada prinsip-prinsip asal pembinaan sebuah negara Malaysia yang majmuk yang diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan (termasuklah tiga Perdana Menteri terawal negara, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein, yang juga merupakan Presiden UMNO) negara ke dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – prinsip raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, Islam sebagai agama rasmi dan kebebasan beragama untuk kepercayaan yang lain, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pemeliharaan serta pengayaan bahasa-bahasa lain, kedudukan khas orang Melayu dan Orang Asal Sabah dan Sarawak untuk menghapuskan kemiskinan dan kemunduruan serta kepentingan sah komuniti-komuniti lain, tadbir urus yang baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, kerajaan yang bersih dan jujur, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, pengakhiran segala bentuk kezaliman dan ketidakadilan dalam negara, sistem ekonomi, pendidikan, kesihatan, dan sosial yang bertaraf dunia, dan perpaduan, persefahaman, dan keharmonian dari kepelbagaian masyarakat majmuk berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya.
Dengan visi-visi Ekonomi Madani ini, Anwar telah meletakkan negara kita dalam hala tuju untuk bangkit semula menjadi sebuah negara hebat yang berjaya mencapai lebih dari apa yang dijangkakan darinya dan bukannya terus ditinggalkan di belakang negara-negara lain seperti dalam beberapa dekad yang lepas. Kita telah pun ditinggalkan di belakang Singapura, Taiwan, Korea Selatan, Hong Kong, Vietnam; adakah kita bakal ditinggalkan di belakang Indonesia, China, dan India, atau lebih buruk lagi, menerima nasib sebagai sebuah negara yang gagal dan berpecah belah seperti Sri Lanka?
Perikatan Nasional tidak ada sebarang agenda untuk menjadikan Malaysia hebat sekali lagi.
Mereka menyebarkan penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian yang mengatakan kononnya kaum Melayu dan agama Islam kini terancam.
Bagaimanakah penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian sebegini boleh dipercayai?
Populasi orang Islam dijangkakan akan berkembang lebih dari dua kali ganda lebih pantas berbanding dengan perkembangan populasi global di antara tahun 2015 hingga 2060, dan dalam setengah kedua abad ini, angka penganut agama Islam dijangkakan akan melepasi jumlah penganut agama Kristian sebagai kumpulan agama terbesar dunia.
Setakat Bancian Populasi dan Perumahan 2020, 63.5% populasi negara mengamalkan agama Islam, 18.7 peratus Buddha, 9.1 peratus Kristian, 6.1 Hindu, dan 2.7% lain-lain agama atau tidak memberikan maklumat.
Terdapat kira-kira 70,000 masjid di Malaysia.
Adakah Islam sedang terancam di Malaysia?
Perkara ini sukar untuk dipercayai.
Namun, adakah penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian sebegini mendapat sambutan dalam enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini?