Semalam, saya berada di Dataran Pahlawan Negara di Putrajaya untuk menghadiri Istiadat Perarakan Panji Yang di Pertuan Agong di mana baginda memeriksa perbarisan tentera.
Istiadat ini adalah satu upacara yang sangat meriah dan bermakna dan terlintas di fikiran saya yang enam pilihan raya negeri pada bulan Ogos ini akan menjadi satu ujian kepada rakyat Malaysia untuk menunjukkan yang mereka mahu rakyat Malaysia menjadi juara dunia sekali lagi, bukannya untuk rakyat Malaysia merosot menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik.
Tidak ada sesiapa yang meminta mana-mana rakyat Malaysia untuk berhenti menjadi seorang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, atau Muslim, Buddha, Kristian, Hindu, Tao, atau Sikh, sebaliknya kita perlulah pertamanya menjadi rakyat Malaysia dan meletakkan identiti-identiti lain di tempat yang kedua.
Malaysia perlu menetapkan semula dasar dan hala tuju negara kepada prinsip-prinsip yang telah diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – prinsip raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, Islam sebagai agama rasmi dengan kebebasan untuk agama-agama lain, tadbir urus baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, sebuah kerajaan yang jujur dan bersih, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, usaha menghentikan segala bentuk kezaliman dan ketidakadilan dalam negara, sistem ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sosial yang bertaraf dunia, dan perpaduan negara, persefahaman, dan keharmonian dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya.
Inilah cabaran dalam enam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung pada bulan Ogos.
Bolehkah Malaysia diselamatkan? Saya percaya masih boleh.
Tetapi, tidak cukup untuk kita sekadar menyelamatkan Malaysia, sebaliknya rakyat Malaysia perlu meletakkan fikiran dan tenaga mereka untuk menyelamatkan dunia dan mengelakkan dari terjadinya pertembungan antara tamadun.
Malaysia dengan ciri-ciri majmuknya di titik pertemuan empat tamadun hebat dunia – Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat – mempunyai peranan unik untuk menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Ancaman terbesar terhadap keamanan dunia pada hari ini adalah keengganan Amerika Syarikat untuk menerima yang mereka bukanlah lagi kuasa besar nombor satu dunia.
Bagaimana perkara hubungan antarabangsa ini dapat diterima oleh Amerika Syarikat akan menjadi cabaran terbesar umat manusia dalam abad ke-21, dan rakyat Malaysia boleh dan perlu mainkan peranan dalam cabaran ini.