Sebanyak enam (6) Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Pulau Pinang telah diluluskan sehingga kini bagi merancakkan lagi proses imunisasi membabitkan sektor industri/perkilangan di negeri ini.
Selain PPV Bukit Jawi Golf Resort yang telah beroperasi sejak 16 Jun lalu, bakal beroperasi adalah di Hotel Equatorial (28 Jun 2021) dan kelak adalah PPV lapangan membabitkan syarikat multinasional Intel Technology Sdn. Bhd.; Jabil Circuits Sdn. Bhd.; Plexus Manufacturing Sdn. Bhd. masing-masing di Bayan Lepas dan terkini adalah Inari Amerton Berhad, bertempat di Batu Kawan. Semua PPV berkenaan akan terus beroperasi termasuk memberi perkhidmatan kepada kakitangan syarikat-syarikat lain sehingga dilaksanakan sepenuhnya membabitkan sektor berkenaan.
Secara umumnya, data yang dikongsi Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang – Pengurusan COVID-19 sebentar tadi menunjukkan bahawa perebakan jangkitan di tempat kerja masih mencatatkan jumlah laporan tertinggi iaitu membabitkan 27 kluster kilang dan tiga (3) bukan kilang; tapak bina (2); komuniti (2); pusat tahanan (1) dan keagamaan (1).
Adalah ditekankan bahawa Kerajaan Negeri menggunakan pelbagai pendekatan termasuk outreach ke organisasi serta lokaliti-lokaliti bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir. Sehingga 20 Jun 2021, data JKNPP menunjukkan bahawa sebanyak 93 pusat jagaan warga emas telah dikunjungi di bawah inisiatif tersebut, dan seramai 3,513 penghuni serta penjaga telah menerima suntikan vaksin.
Pada aspek penguatkuasaan, sebanyak 101 kilang telah diarahkan tutup ekoran perebakan jangkitan COVID-19 dalam tempoh Januari hingga 20 Jun tahun ini dengan perangkaan tertinggi iaitu 45 buah di daerah Seberang Perai Tengah; Barat Daya (36); Seberang Perai Selatan (14) dan masing-masing tiga buah di Seberang Perai Utara dan Timur Laut. Badan-badan penguat kuasa masih meneruskan operasi tindakan dari semasa ke semasa termasuk mengenal pasti kilang-kilang yang bertindak menipu serta menyembunyikan fakta sebenar.
Pada mesyuarat sama, Ketua Polis Pulau Pinang turut berkongsi data bahawa bagi tempoh Januari hingga Mei 2021, sebanyak 19 kes cubaan bunuh diri telah dilaporkan di negeri ini dan laporan kes bunuh diri diterima (53). Peningkatan perangkaan berkaitan akan diberi perhatian khusus oleh JKNPP yang mana aspek penekanan kesihatan mental juga perlu diberikan sewajarnya.