Persoalan utama yang berlegar dalam fikiran rakyat Malaysia hari ini adalah sama ada kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim dapat bertahan selama lima tahun.
Terdapat ujian kelangsungan hayat untuk kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim ini dalam tahun pertamanya.
Ujian-ujian ini adalah:
- Pemilihan Yang di Pertua Dewan Rakyat pada 19 Disember 2022;
- Kelulusan usul percaya terhadap Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri di Parlimen pada 20 Disember 2022;
- Perhimpunan Agung UMNO pada 11 hingga 14 Januari untuk melantik pimpinan baharu;
- Kelulusan Usul Menjunjung Titah Diraja semasa pembukaan Parlimen, yang merupakan dasar-dasar kerajaan untuk tahun tersebut; dan
- Kelulusan Belanjawan 2023.
Sekiranya kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim dapat bertahan berhadapan dengan lima ujian ini dalam beberapa bulan yang akan datang, kerajaan ini akan berhadapan dengan ujian keenam – pilihan raya umum di enam negeri, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.
Perikatan Nasional (PN) akan mencuba sedaya upaya untuk mencatatkan kejayaan di enam-enam negeri ini untuk menumbangkan kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim.
Malah, Pengerusi PN Negeri Sembilan telah mengumumkan yang PN Negeri Sembilan menyasarkan untuk menang sekurang-kurangnya 19 dari 36 kerusi DUN untuk membolehkan mereka membentuk kerajaan negeri.
Pakatan Harapan (PH) tidak boleh memandang ringan ancaman PN ini, sama ada di Negeri Sembilan atau di lima negeri-negeri lain. Saya alu-alukan pengumuman setiausaha agung Pakatan Harapan, Saifuddin Nasution Ismail, untuk PH mengadakan jelajah bermula awal tahun hadapan sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya di enam negeri yang belum membubarkan Dewan Undangan Negeri mereka semasa Pilihan Raya Umum ke-15 dijalankan sebelum ini.
Saifuddin yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri, mengatakan bahawa menjadi satu tanggungjawab yang “amat penting” untuk meyakinkan para pengundi di enam negeri-negeri ini untuk terus menyokong kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim yang dibentuk selepas PRU-15.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, telah menjangkakan yang PH mungkin bakal kehilangan enam atau tujuh kerusi dalam pilihan raya negeri yang akan datang berdasarkan trend yang ditunjukkan dalam pilihan raya umum pada bulan lepas.
Walaupun perkara ini tidak mengancam kawalan Harapan ke atas negeri tersebut, pegangan gabungan ini terhadap Pulau Pinang tidak akan menjadi sekuat sebelum ini.
Pakatan Harapan perlu merangka program untuk memastikan supaya PH tidak kehilangan kerusi kepada PN, sebaliknya, mencatatkan prestasi yang lebih baik di enam negeri ini berbanding dengan prestasi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 sebelum ini.