Saya mendesak kerajaan negeri Johor supaya menangguhkan cadangan menaikkan tarif air di seluruh negeri Johor sehingga Syarikat Air Johor (SAJ) dapat menyakinkan rakyat bahawa mutu perkhidmatan bekalan air dapat turut dipertingkatkan sejajar dengan kenaikan tarif. Rakyat Johor selama ini membeli air pada kadar yang termahal berbanding negeri lain di Malaysia. Walaupun membayar mahal, rakyat Johor tidak dapat berbangga kerana mutu bekalan air yang sampai ke rumah ataupun premis perniagaan ternyata bukan yang terbaik di Malaysia.
Pada 23 September yang leaps, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Ir. Haji Hasni Bin Haji Mohammad mengumumkan tarif air di Johor akan dinaikkan 10 hingga 12 % mulai hujung tahun ini atau awal tahun 2015. Alasannya adalah kos rawatan air meningkat dua kali ganda berikutan kenaikan tarif elektrik dan juga untuk kawalan pencemaran air.
Saya tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan negeri Johor dalam menunduk kepada permintaan SAJ menaikkan tarif air atas alasan yang diberikan itu. Pihak SAJ seharusnya menyelesaikan beberapa kelemahan dalam pengurusan mereka terlebih dahulu sebelum sebarang kenaikan tarif air boleh dipertimbangkan.
Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), kadar air tidak berhasil (non-revenue water – NRW) negeri Johor pada tahun 2013 ialah 26.4%. Ini bermakna, untuk setiap 1000 liter air terawat, 264 liter hilang tidak dapat dikesan kerana kebocoran paip, pencurian air ataupun sebab-sebab lain. Walaupun NRW Johor menampakkan penurunan kebelakangan ini, ia masih berada pada tahap yang membimbangkan. SAJ perlu mensasarkan penurunan NRW ke tahap kurang daripada 20% dalam masa terdekat dan 15% menjelang tahun 2020.
Anggaran saya berdasarkan statistik yang diperoleh dari SPAN, Johor hilang 400 juta liter air terawat setiap hari. Pada kadar domestik terendah iaitu 60 sen untuk 1,000 liter, setiap hari SAJ hilang hasil pendapatan RM 240,000 bersamaan hampir RM 90 juta setahun.
Pihak SAJ seharusnya meletakkan penurunan kadar NRW sebagai teras utama dalam urusniaga mereka tetapi bukannya membuat rintihan bahawa syarikat tersebut mengalami kerugian dan mencadangkan supaya tarif air dinaikkan. Kerajaan yang cenderung membantu syarikat yang mengambil jalan mudah sedemikian adalah sangat tidak bertanggungjawab.
Air paip yang bersih dan selamat hasrat rakyat
Saya juga ingin memberi cadangan kepada SAJ bahawa cara terbaik untuk menyakinkan rakyat adalah dengan membekalkan air yang bersih dan selamat digunakan dengan konsisten. Bukan hari ini air bersih jernih esok pula keruh dan berbau busuk.
Baru-baru ini, penduduk di daerah Kluang, Batu Pahat dan Muar dihantui masalah air paip yang kotor dan tidak selamat. Pada awal tahun ini pula, berlakunya masalah air payau dibekalkan kepada penduduk di sekitar kawasan Kota Tinggi, Ledang dan Muar. Ini petanda-petanda kelemahan perkhidmatan SAJ dan pemantauan kurang berkesan oleh pihak kerajaan negari untuk memastikan hanya air yang bersih dan selamat dibekalkan kepada rakyat Johor.
Tidak mungkin rakyat boleh terima peningkatan harga air sekiranya SAJ dan kerajaan masih tidak dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.
Pihak kerajaan negeri juga perlu bertindak proaktif dalam menangani masalah pencemaran air pada sumber seperti yang berlaku di Empangan Macap dan Empangan Sembrong. Perkara ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos pemprosesan air malah juga dapat meningkatkan keyakinan orang ramai.
Air Keperluan Asas, Bukan Hanya Barang Niaga
SAJ harus diingatkan air merupakan keperluan asas tetapi bukannya suatu barang niaga. Dengan kata lain, perkhidmatan pembekalan air merupakan melibatkan kepentingan awam keseluruhan rakyat Johor dan ia tidak seharusnya hanya dinillai dari segi potensi keuntungan ringgit untuk kelompok tertentu.
Oleh yang demikian, adalah tidak wajar untuk menaikkan tarif air sebelum kelemahan-kelemahan yang saya senaraikan di atas ditangani baik. Akhir kata, saya menyeru kerajaan negeri supaya menarik balik sokongan mereka kepada SAJ untuk menaikkan tarif air mulai hujung tahun ini. Memandangkan semua permohonan perubahan tarif air perlu kebenaran daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), saya juga menyeru SPAN untuk menolak permohonan SAJ dan Kerajaan Negeri Johor demi kepentingan orang rami.