Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah kesal dengan kenyataan Komander ESSCOM DCP Datuk Abd Rashid Harun yang menafikan dakwaan bahawa pihaknya menggunakan kekerasan semasa operasi bersepadu besar-besaran yang berlangsung di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone). Saya mencabar Rashid untuk membuktikan tuduhan-tuduhan penyalahgunaan kuasa ESSCOM adalah palsu.
Pada suatu kenyataan oleh Rashid, beliau menafikan kenyataan Presiden Dewan Perniagaan Cina Tawau Lo Su Fui yang mendakwa penguatkuasa ESSCOM bertindak tidak profesional dan seperti samseng semasa operasi memburu pendatang haram di ESSZONE.
Kami telah mendapat aduan pelbagai pihak tentang wujud salah guna kuasa dalam operasi ESSCOM. Antara sebab mengapa rakyat tidak mahu mengadu kepada pihak ESSCOM ialah sikap agensi tersebut yang dilihat hanya mahu menjaga nama dan kepentingan sendiri seperti yang ditunjukkan oleh Datuk Rashid sekarang. ESSCOM selalu berada dalam sindrom penafian (denial syndrome) terhadap tuduhan daripada rakyat. Mereka juga terlalu mengikut perasaan ‘feel good’ sehingga menyifatkan keadaan Sandakan lebih selamat dari Kuala Lumpur kerana insiden penculikan cuma berlaku di Sandakan sekali setahun.
Encik Lo sebagai presiden persatuan perniagaan tidak ada sebarang kepentingan politik dan motif untuk menjatuhkan imej ESSCOM. Sepatutnya, pihak peniagalah yang paling pro-establishment. Apakah sudah berlaku sampai mendorong golongan pro-establishment ini sudi tampil ke depan dan membuat kenyataan terbuka terhadap sikap dan tindakan ESSCOM? Mesti ada yang tidak kena. Apa yang dikatakan oleh Lo haruslah dikaji dan diambil tindakan untuk menyelidik dan bukan terus menafikannya. Suara rakyat haruslah didengar. Adakah Rashid takut berdepan muka bersama rakyat di ESSZONE?
Saya bersama Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong dan Ahli Parlimen Sandakan Stephen Wong menghantar memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri di Parlimen pada hari Khamis, terus mencabar Datuk Rashid untuk membuktikan semua aduan yang DAP terima dan dikemukakan di memorandum itu adalah palsu.
Antara aduan-aduan ialah menggunakan kuasa secara berlebihan (excessive force):
Tindakan kasar operasi pasukan ESSCOM telah merosakkan harta benda perseorangan seperti memecahkan pintu atau mangga semata-mata untuk menjalankan pemeriksaan. Dalam satu operasi, mangga pada pintu premis rosak semasa operasi dijalankan pada awal pagi (subuh). Apabila pemilik premis menyedari hal tersebut, mereka tidak tahu untuk mengadu kepada siapa; siapa yang bertanggungjawab untuk membayar ganti rugi?
Persoalannya, adakah ESSCOM mempunyai kuasa mutlak menggeledah premis? Adakah pasukan ESSCOM mempunyai waran sebelum menjalankan operasi?
ESSCOM juga pernah menjalankan operasi bersama Jabatan Imigresen dan Majlis Kerajaan Tempatan di asrama pekerja rumah urut dan spa yang mana kesemua pekerja asing ini berasal daripada negara China. Setelah mangga asrama dicungkil, pekerja asing ini dibawa ke balai polis namun ditahan tidak sampai 20 minit. Semua dibebaskan kerana disahkan mempunyai permit kerja yang sah.
Persoalannya, adakah ESSCOM menjalankan risikan sebelum membuat operasi? Sejak bila ESSCOM yang diwujudkan selepas insiden pencerobohan Sulu tidak mengenal yang mana satu warga China dan yang mana satu orang Sulu? Adakah tindakan sebegini terkandung SOP?
Adakah ESSCOM perlu menahan sesiapa yang disyaki terlebih dahulu barulah disiasat meski pun orang-orang yang ditahan mempunyai dokumen kerja yang sah? Kami menolak sekeras-kerasnya operasi semberono sedemikian kerana ianya membazirkan wang rakyat.
Wujud aduan mendakwa pihak tertentu dalam ESSCOM telah menerima sogokan daripada pihak majikan supaya pekerja tanpa dokumen sah mereka dapat dibebaskan. Ada juga pekerja asing dihantar pulang ke Filipina tetapi kembali ke Sabah selepas dua minggu. Dengan adanya elemen rasuah dalam operasi ESSCOM bagaimana keselamatan Sabah dapat dipelihara?
Dalam perkara yang berlainan, wujud tuduhan pegawai tinggi ESSCOM bermain golf pada waktu kerja dan bertaruh dalam permainan golf sebanyak RM1,000 setiap lubang di Lahad Datu. Ada juga dakwaan di mana jika ada pekerja asing tanpa dokumen sah ditahan pihak berkuasa, majikan atau keluarga terpaksa membayar sebanyak RM500 hingga RM1,000 untuk membebaskan mereka. Kami mohon pihak berkuasa menyiasat dakwaan tersebut untuk mengelakkan persepsi negatif orang awam.
a) Seperti suatu insiden di Sandakan, ESSCOM hantar 40 anggota bersenjata penuh dan bertopeng membantu bantu Majlis Perbandaran Sandakan untuk menutup sebuah restoran hanya kerana pengubahsuaian premis tidak mengikut peraturan manakala perabot dan peralatan restoran disita. Insiden ini amat tidak wajar berlaku kerana pemilik restoran bukanlah teroris dan ia hanya akan memenakutkan orang awam serta merupakan pembaziran dana awam.
b) Dalam Jawapan Lisan Pertanyaan Dewan Rakyat kepada Ahli Parlimen Kota Kinabalu berhubung bilangan penangkapan dan penghantaran pulang pendatang asing di Sabah, jawapan yang diberikan Perdana Menteri yang menyatakan sebanyak 3,668 orang telah ditahan dalam operasi bersepadu ESSCOM amat tidak meyakinkan kerana tidak memadai dengan pengalaman harian orang awam. Kita percaya jumlah tahanan sepatutnya lebih daripada perangkaan rasmi. Adakah munasabah jumlah tahanan hanya mencecah ribuan orang dengan operasi bersepadu setiap hari sejak bulan Februari? Adakah mungkin ramai tahanan dilepaskan begitu sahaja selepas dibayar sogokan? Kami mohon perkara ini disiasat.
Memorandum itu antara lain menyatakan bahawa, Rakyat bukan pengganas. ESSCOM perlu menghormati hak asasi rakyat dan jangan bersikap prejudis seolah-olah semua orang disyaki pengganas. Ramai yang melihat beberapa tindakan ESSCOM seolah-olah membuli rakyat biasa tetapi tidak mampu menangani anasir yang datang dari seberang laut. Kami menuntut ESSCOM supaya tidak mengganggu secara khalayak awam secara semberono tetapi perlu memberi fokus kepada pertahanan dan keselamatan kawasan pesisir pantai!