EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membuat keputusan pada mesyaurat mingguan kami pada 2 April 2014 sama ada untuk mengikuti langkah Kerajaan Negeri Perak untuk mengenakan catuan air di Taiping. Saya terkejut mendengar bahawa kerajaan negeri Perak akan melaksanakan catuan air buat kali pertamanya di pekan paling “basah” di Semenanjung Malaysia, iaitu Taiping, pada minggu depan.
Catuan air di situ dijangka akan memberi kesan kepada 28,000 daripada 85,000 pemegang akaun air di sana untuk dua minggu bermula 3 April. EXCO Kerajaan Negeri untuk Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata bahawa mereka terpaksa membuat catuan air untuk kali pertama di Perak akibat bekalan air yang kian mengurang ekoran musim kemarau yang berlanjutan.
Ini menunjukkang bahawa Malaysia berhadapan dengan kemarau yang paling teruk dalam 15 tahun. Sebelum ini saya telah mengumumkan bahawa tidak akan berlaku catuan air di bulan Mac walaupun kami melalui musim kemarau. Namun begitu, kajian semula bagi bulan April akan dibuat oleh EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada mesyuarat EXCO akan datang untuk mempertimbangkan bekalan air sedia ada dan rizab air untuk menentukan sama ada catuan air diperlukan di Pulau Pinang.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menyatakan kekecewaan kerana penggunaan air makin meningkat walaupun banyak program pendidikan diadakan serta pelaksanaan surcaj pemuliharaan air sebagai penalti kepada mereka yang membazir air. Tahun lepas, penggunaan air di Pulau Pinang adalah paling tinggi di Malaysia, iaitu 295 liter padu seorang sehari. Untuk dua bulan pertama tahun ini sehingga 1 Mac 2014, angka penggunaan air sudah meningkat 5.4% kepada 311.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyeru agar pengguna air Pulau Pinang memulihara dan tidak membazir air kerana penggunaan air kita sekarang hampir 50% lebih tinggi daripada purata kebangsaan, iaitu 215 liter padu seorang sehari. Sumber dan rizab air kita boleh dilanjutkan sebanyak 50% sekiranya kita memulihara air dan menggunakan jumlah yang sama dengan purata kebangsaan.