DAP terkejut kerana Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 memerlukan 6 mesyuarat untuk menyetujui beberapa “kriteria dan threshold” dalam menilai sama ada darurat harus diteruskan atau tidak, tanpa menjelaskan kriteria dan “threshold” apa yang mereka telah setujui. Darurat untuk memerangi COVID-19 telah diisytiharkan oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri pada 12 Januari 2021 hingga 1 Ogos.
Jawatankuasa ini telah ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan 2021 Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) dengan tugas untuk memberi nasihat kepada Agong mengenai darurat yang sedang berjalan, dan juga bila ia harus berakhir. Untuk jawatankuasa memerlukan 6 mesyuarat dan tiga setengah bulan sejak ditubuhkan pada 9 Februari bagi menyetujui beberapa kriteria dan “threshold”, menimbulkan persoalan sama ada ketiga-tiga wakil PH dapat memberikan sumbangan yang sebenar dan memainkan peranan yang bermakna. 3 wakil PH dalam jawatankuasa tersebut adalah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke, dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Dzulkefly Ahmad.
Biasanya, perlu ada laporan interim kemajuan. Laporan kemajuan ini harus menunjukkan keberkesanan Darurat dan penutupan Parlimen dalam memenangi perang melawan COVID-19. Sama seperti pertempuran melawan COVID-19 harus berdasarkan sains dan data, persoalan sama ada Darurat dan penggantungan Parlimen telah membantu memerangi COVID-19 harus berdasarkan fakta dan angka.
Fakta dan angka membuktikan bahawa kedua-dua Darurat dan penggantungan Parlimen bukan sahaja gagal mengurangkan jangkitan COVID-19 tetapi telah menyaksikan peningkatan yang mendadak. Pada 12 Januari ketika Darurat diisytiharkan, jumlah jangkitan harian COVID-19 adalah 3,309, jangkitan kumulatif adalah 141,533 dan kematian kumulatif adalah 559. Empat setengah bulan kemudian, pada 27 Mei 2021, jangkitan harian meningkat lebih dari dua kali ganda kepada 7,875, kes kumulatif hampir 4 kali lebih tinggi pada 541,224 dan kematian kumulatif empat setengah kali lebih tinggi pada 2,491.
Fakta dan angka menunjukkan bahawa Darurat dan penggantungan Parlimen bukanlah penyelesaian untuk memenangi pertempuran memerangi COVID-19. Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) yang berjaya adalah jalan penyelesaiannya. Perolehan vaksin yang perlahan telah menyebabkan penghantaran yang lewat dan kadar vaksinasi yang rendah. Peningkatan jangkitan COVID-19 yang tinggi telah menimbulkan rasa takut dan panik di kalangan rakyat yang mengakibatkan keterdesakan pencarian vaksin untuk melindungi orang yang mereka sayangi. Itulah sebabnya rakyat sangat marah dan kecewa dengan pendaftaran atas talian untuk vaksin AstraZeneca yang gagal, walaupun berharga RM70 juta.
Bagi pelaksanaan PICK yang segera dan lancar, perlu ada akauntabiliti, ketelusan, dan pengawasan fungsi kerajaan. Hanya Parlimen yang dapat memainkan peranan semak dan imbang ini bagi memastikan kerajaan menjalankan tugasnya dan dana awam digunakan dengan betul. Parlimen mesti dibuka semula, dan Darurat perlu ditamatkan segera untuk mempercepatkan proses vaksinasi.
Jawatankuasa tidak boleh membenarkan gelombang ketiga jangkitan COVID-19 dengan rekod tertinggi 7,857 jangkitan harian semalam, dijadikan alasan untuk melanjutkan darurat selepas 1 Ogos.