Pendedahan program televisyen Indonesia berbentuk siasatan tentang pendaratan ratusan Pendatang Asing Tanpa Izin setiap hari di Tawau telah mendatangkan imej negatif kepada penguatkuasa negara kita di mata antarabangsa, terutamanya Indonesia.
Apa yang menghairankan dakwa rancangan itu, lokasi pendaratan ratusan PATI tersebut setiap hari, Batu-batu, berada tepat bersebelahan dengan pelabuhan sah di Tawau Sabah.
Hari ini saya melawat ke Batu-batu telah menyaksikan penempatan pihak berkuasa di sana demi menjalankan pemeriksaan terhadap setiap pengguna jeti tersebut.
Saya harap amalan ini bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Janganlah ini diadakan sebagai cara Public Relation untuk menyelamatkan maruah pihak berkuasa sahaja.
Tanpa “bantuan” orang dalaman, pengawalan keselamatan di pinggir laut Sabah Timur ini tidak akan menemui kegagalan.
Rakaman video ini jelas menunjukkan bahawa kegagalan ESSCOM ada sebab utamanya, iaitu penguatkuasaan yang tidak ketat dan amalan rasuah yang berleluasa di antara anggota yang sepatutnya menjamin keselamatan pinggir laut. Saya harap SPRM akan campur tangan dan menyiasat sama ada terwujud sindiket di sebalik isu ini.