Skip to content

Fasa endemik, umum perlu bertanggungjawab terhadap kesihatan diri; Pulau Pinang ke Fasa 3 PPN, seru usaha sama semua pihak

Pulau Pinang kini mencatatkan penurunan kes kepada tiga angka dan di bawah jumlah 600 sejak dua (2) hari lalu. Walau bagaimanapun, kita mesti terus berwaspada dan menjaga prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan garis panduan ditetapkan walaupun sekatan-sekatan jalan raya (SJR) bagi daerah serta negeri telah dimansuhkan.

Berkongsi data daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sehingga 10 Oktober 2021, jumlah katil unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit COVID-19 di Pulau Pinang adalah sebanyak 101 buah yang terdiri daripada 69 katil di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala 32 katil lagi di Hospital Kepala Batas (HKB). Terdapat trend penurunan kadar penggunaan katil ICU di Pulau Pinang iaitu kepada 83.3 peratus (sumber dari laman sesawang COVIDNOW).

Sekiranya terdapat keperluan bagi pertambahan katil ICU, JKNPP bercadang untuk membuka empat (4) lagi katil ICU di HPP dan Hospital Medan HPP (4 katil) secara berperingkat. Di samping itu, pembinaan 10 katil ICU di Hospital Medan HKB sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap pada penghujung bulan ini.

Dengan trend penurunan kes di ICU serta penambahan bilangan katil ICU sebagaimana dirancang, diharap ia akan dapat mengurangkan kadar penggunaan katil ICU ke paras 50 peratus bagi membolehkan Pulau Pinang beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Di fasa endemik, adalah dijangkakan bahawa kebanyakan kes adalah dalam kategori tidak bergejala serta bergejala rendah selaras dengan kadar liputan imunisasi penduduk yang tinggi. Orang awam perlu bertanggungjawab terhadap kesihatan diri dengan melakukan ujian kendiri sekiranya bergejala dan mengasingkan diri di rumah. Sekiranya gejala bertambah buruk, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.

Umumnya, fasiliti kesihatan perlu bersedia untuk menerima kes-kes bergejala terutamanya pesakit yang berisiko untuk ditempatkan di hospital ataupun Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi tujuan pemantauan rapi. Sehubungan itu, kemudahan sedia ada di hospital awam dan PKRC akan dikekalkan untuk sementara waktu sehingga penilaian trend kes COVID-19 di fasa endemik kekal stabil. Aktiviti survalen bakal dipertingkatkan untuk mengenal pasti trend penyakit bagi memastikan tindakan susulan awal dapat diambil.

Berhubung penggunaan ubat antiviral Molnupiravir (Merck Molnupiravir), JKNPP menunggu arahan lanjut daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung penggunaannya untuk pesakit COVID-19 di negeri ini.