Skip to content

FB Majlis Perbandaran Pontian silap bendera, ADUN Senai mohon penjelasan

Saya memohon penjelasan daripada Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) berhubung kesilapan yang berlaku pada hantaran Laman Facebook rasmi MPPn baru-baru ini, yang menampilkan bintang berwarna kuning dengan 16 bucu berbanding 14 bucu seperti yang sepatutnya terdapat pada Jalur Gemilang.

Kesilapan ini telah mencetuskan kecaman orang ramai dan dilaporkan oleh pelbagai media termasuk Sin Chew Daily, Malaysiakini dan lain-lain pada Hari Kebangsaan yang lalu.

Walaupun hantaran tersebut telah dipadamkan dengan segera oleh pihak pentadbir laman, sehingga hari ini (3 September) masih tiada sebarang penjelasan rasmi daripada Yang Dipertua, Ahli-ahli Majlis, atau wakil MPPn.

Setakat ini, rakyat tidak tahu apakah punca kesilapan ini, apakah tindakan yang telah diambil, dan siapakah yang akan bertanggungjawab, selain daripada sekadar memadamkan hantaran tersebut dan memuat naik semula tanpa gambar yang salah.

Sebelum ini, MPPn telah mengambil tindakan tegas dengan menutup sebuah klinik gigi dan sebuah pasar raya mini di daerah berkenaan selama 30 hari kerana mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik.

Rakyat berharap MPPn akan mengekalkan prinsip kecekapan dan ketegasan yang sama, tanpa mengira latar belakang, kaum, atau sama ada kesilapan itu dilakukan oleh rakyat biasa atau pihak berkuasa sendiri.

Jika tiada sebarang tindakan lanjut atau penjelasan rasmi diberikan, persepsi negatif mungkin timbul bahawa hanya rakyat biasa yang melakukan kesilapan akan dikenakan tindakan segera dan tegas, manakala kesilapan pihak berkuasa akan dibiarkan begitu sahaja.