Saya terkejut dengan tindakan Ahli Parlimen PAS Temerloh Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi yang telah membangkitkan fitnah yang sedang tidur, di saat fitnah-fitnah lain sedang mengancam silaturahim Pakatan Rakyat.
Tantawi sebagai seorang pemimpinan parti Islam seharusnya lebih mengerti bahawa fitnah itu adalah lebih berat dosanya daripada membunuh. Lebih-lebih lagi pada bulan Syawal yang mulia ini, seharusnya kita saling menjaga hubungan setiakawan; dan bukannya membangkitkan fitnah-fitnah yang sudah lena.
Serangan dan fitnah terhadap kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang Saudara Lim Guan Eng dalam isu terowong dasar laut yang menghubungkan Bagan Ajam dan Persiaran Gurney nampaknya sama sahaja dengan gaya serangan yang telah dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional.
Malah, Umno dan Barisan Nasional serta pesuruh-pesuruhnya sendiri pun tidak menyerang aspek ketelusan projek itu.
Kenapa Tantawi pula begitu gigih menyerang dan mempersoal rakan politik sendiri? Susah sangatkah untuk memeriksa fakta daripada rakan-rakan Pakatan Rakyat terutamanya rakan-rakan PAS di Pulau Pinang? Adakah Umno dan Barisan Nasional di Pahang sudah begitu suci dan cemerlang sehingga Tantawi harus memilih untuk menghalakan serangan ke Pulau Pinang?
Adakah terdapat sebarang agenda lain di sebalik serangan jahat ala Umno ini? Jika benar, hal itu amatlah kita kesali.
Saudara Lim Guan Eng telah pun memberikan penjelasan panjang lebar mengenai projek terowong tersebut sebelum memberi tempoh kepada Tantawi untuk menarik balik dakwaannya dan memohon maaf. Malang sekali, Tantawi nampaknya berdegil; malah terus melancarkan serangan baru mengenai hal itu.
Fitnah dan serangan tidak boleh dibiarkan tanpa dijawab dan diambil tindakan sewajarnya. Apa lagi fitnah tersebut bersabit projek yang diputuskan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Kedegilan dan kedangkalan yang diperlihatkan oleh tindakan Tantawi semestinya ditegur dan dibetulkan. Saya menyeru rakan-rakan di dalam PAS supaya tidak berdiam diri, dan menyuarakan bantahan masing-masing terhadap fitnah yang ditimbulkan oleh Tantawi.
Berdiam dan redha terhadap fitnah yang dikejutkan dari lena ini pastinya akan dilihat mengikis komitmen PAS terhadap persaudaraan Pakatan Rakyat dan menambah syakwasangka orang ramai terhadap keikhlasan tahalluf siyasi mereka.