Sukar untuk menafikan bahawa pilihanraya kerajaan tempatan atau disebut ‘undi ketiga’ adalah pelaksanaan demokrasi di peringkat yang paling dekat dan rapat dengan masyarakat.
Soal kebertanggungjawaban pihak berkuasa tempatan kepada pembayar cukai adalah elemen yang memastikan kecekapan dan ketelusan perbelanjaan dalam menguruskan infrastruktur awam.
Inilah antara hujah kenapa Malaysia memerlukan pilihanraya kerajaan tempatan, di tengah-tengah perbahasan ramai mengenai keperluan mengembalikan hak demokratik yang telah dinafikan sejak 50 tahun lalu.
Suruhanjaya Siasatan Diraja Athi Nahappan pada tahun 1968 yang menyediakan laporan mengenai pilihanraya kerajaan tempatan telah turut mencadangkan supaya undi ketiga itu dikembalikan semula pelaksanaannya, namun cadangan ini tidak pun dilaksanakan kerajaan.
Malah timbul pula kini hujah-hujah kononnya pilihanraya kerajaan tempatan akan menghakis kuasa Melayu, bahkan boleh menyebabkan insiden rusuhan kaum 13 Mei 1969 berulang kembali.
Bagi merungkai segala yang serabut tentang ‘undi ketiga’ dan mekanisme kerajaan tempatan, Roketkini menghadirkan Ahli Parlimen PAS Sepang Sdr Hanipa Maidin, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Sdr Steven Sim, dan Ahli Majlis MPPP Sdri Syerleena Rashid untuk menyatakan hujah masing-masing.
Ucaptama akan disampaikan oleh Ketua Parlimen DAP Sdr Lim Kit Siang.
Majlis dijadual bermula pada jam 8.30 malam, Khamis 5 Februari 2015 bertempat di Mandarin Court Hotel, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur. Masuk adalah percuma.