Skip to content

FRIM FPS Diiktiraf Sebagai Tapak Warisan Dunia: Peluang Strategik untuk Pelancongan Hijau Negara

Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) atas kejayaan mengangkat FRIM Forest Park Selangor (FRIM FPS) sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada sesi ke-47 Jawatankuasa Warisan Dunia di Paris baru-baru ini.

Pengiktirafan ini bukan sekadar lambang kejayaan dalam pemeliharaan alam sekitar, malah membuka potensi ekonomi yang besar kepada negara, khususnya dalam sektor pelancongan hijau dan lestari.

FRIM FPS, yang terletak di luar sempadan Parlimen Kepong, telah sekian lama menjadi lokasi riadah, pembelajaran alam dan penyelidikan hutan tropika. Ia bukan sahaja menjadi tumpuan warga tempatan, malah turut menerima kunjungan pelawat antarabangsa.

Dengan Malaysia mencatatkan lebih 25 juta kemasukan pelancong antarabangsa pada tahun 2024 dan menyasarkan peningkatan kepada 31.3 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan RM125.5 bilion pada 2025, pengiktirafan ini hadir tepat pada masanya bagi merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Selangor 2025 dan Visit Malaysia 2026.

Justeru, saya mencadangkan agar sebuah Jawatankuasa Khas Bersama antara MOTAC dan Kerajaan Negeri Selangor ditubuhkan segera bagi merangka strategi promosi bersepadu di peringkat antarabangsa. Pendekatan ini bukan sahaja akan memaksimumkan potensi FRIM FPS sebagai destinasi pelancongan ikonik, tetapi juga memastikan pemeliharaan tapak ini dilakukan secara mampan.

Usaha promosi harus disertai dengan pelaburan dalam infrastruktur akses, kemudahan pelawat, bahan interpretasi pelancongan serta kolaborasi dengan komuniti setempat agar manfaat ekonomi dapat dirasai secara inklusif.

Sekali lagi, tahniah kepada semua pihak yang terlibat: MOTAC, FRIM, Kerajaan Negeri Selangor, Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, serta Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO. Kejayaan ini bukan hanya milik agensi kerajaan, tetapi milik seluruh rakyat Malaysia.