Skip to content

Fuzi boneka BN atau tiada kemampuan menyandang jawatan Ketua Polis Negara

Saya berpandangan hanya 2 kemungkinan di sebalik keputusan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) mengahalang penganjuran ‘Bavaria F&B’ di Kompleks Beli-belah One Utama, PJ. Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mungkin terpaksa tunduk kepada kuasa politik. Ini berikutan ‘arahan’ Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Fuzi untuk menghalang penganjurannya walaupun terdapat beberapa kenyataan yang menafikannya selepas itu. Jika ya, ini menunjukkan Fuzi hanya merupakan boneka kepada Barisan Nasional dan beliau tidak layak menyandang jawatan Ketua Polis Negara.

Jika itu bukan sebabnya, kemungkinan yang kedua pula adalah Fuzi tidak berkemampuan untuk menyandang jawatan Ketua Polis Negara. Beliau mungkin perlu mempertimbangkan untuk meletak jawatan kerana tidak mampu menjaga keselamatan dan ketenteraman negara kita. Alasan yang mengatakan penganjuran pesta ini akan menjadi tarikan serangan militan dan seterusnya mencetus ancaman kepada ketenteraman awam tidak dapat diterima sama sekali. PDRM mempunyai kekuatan anggota seramai melebihi 113 000 anggota dan ia sepatutnya mampu mempertahankan keselamatan awam di negara ini. Berdasarkan piawaian Interpol, nisbah polis kepada orang awam adalah 1:250.

Fuzi sepatutnya mengarahkan anggota beliau bersedia di sekitar lokasi untuk mengawal ketenteraman semasa pesta berkenaan berlangsung. Menghalang penganjuran pesta ini dengan alasan yang tidak munasabah menunjukkan beliau tidak mampu mengetuai pasukan polis. Ini seolah-olah mengarahkan bank dan institut kewangan untuk menutup kedai kerana berdepan dengan kemungkinan di rompak. Bagaimana pula jika terdapat ancaman yang sedemikian ketika penganjuran Sukan SEA dan kejohanan Formula Satu? Adakah Fuzi akan mengarahkan untuk membatalkannya?