Perdana Menteri mesti menjelaskan rancangan untuk memotong subsidi, meluaskan sumber cukai dan menguruskan perbelanjaan dengan berhemat bagi mengelak penilaian kredit Malaysia dari dipotong oleh Fitch Ratings. Agensi penilaian tersebut telah menukar unjuran kredit Malaysia daripada stabil menjadi negatif pada bulan Julai, berdasarkan kadar hutang yang semakin meningkat dan kekurangan reformasi belanjawan.
Pada kadar 53.3% kadar hutang negara kepada KDNK adalah yang paling tinggi di kalangan 12 pasaran baru muncuk Asia selepas Sri Lanka. Dengan jaminan kerajaan, pendedahan kredit kerajaan berada pada kadar 70.2% daripada KDNK pada penghujung suku kedua, meningkat berbanding 66.6% setahun sebelum itu. Kadar hutang isi rumah berbanding KDNK pula jauh lebih tinggi pada 83% pada 2013, meningkat berbanding 66.7% pada 2004, yang kedua tertinggi di Asia.
Adakah Najib bercakap tentang menaikkan harga petrol, gula dan harga barang makanan apabila beliau bercakap tentang mengurangkan subsidi? Adakah Najib akan melaksanakan tender terbuka untuk mengurangkan kapitalisme kroni apabila beliau bercakap tentang menguruskan perbelanjaan secara berhemah.
Janji-janji untuk menguruskan perbelanjaan secara berhemah tidak bermakna apabila tidak ada tindakan atau hukuman diberikan terhadap mereka yang bertanggungjawab ke atas lebihan, pembaziran dan salah laku kewangan berjumlah RM6.5 bilion seperti yang diperlihatkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang memberi kesan negatif kepada ekonomi.
Apabila Najib menyebut tentang memperluas tapak percukaian negara, adakah beliau bercakap tentang melaksanakan cukai GST sebanyak 7% yang disebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, datuk Seri Idris Jala dapat memberi pulangan RM27 bilion setahun? Ini akan membebankan setiap seorang daripada 28 juta rakyat Malaysia sebanyak RM1000 setiap seorang setiap tahun.
Najib bertanggungjawab untuk memperjelaskan apa maksud sebenarnya, terutamanya apabila kerajaan persekutuan BN gagal menangani rasuah sehingga Washington Post pun menyiarkan rencana tentang Malaysia menjadi juara dunia dalam hal rasuah. Malah penganalisis kewangan terkemuka Jesse Colombo juga turut menulsi di majalah Forbes bahawa buih ekonomi Malaysia bakal meletup disebabkan keterhutangan kerajaan dan isi rumah yang tinggi.
Yang menariknya, Colombo menyebut bahawa rancangan membina bangunan tertinggi di Asia Tenggara, Menara Warisan Merdeka bernilai RM5bilion dengan 118 tingkat, memberi satu amaran besar dalam Indeks Pencakar Langit (Skyscraper Index). Amaran Indeks Pencakar Langit itu merujuk kepada laporan Dresdner Kleinwort pada tahun 2009 yang menunjukkan kaitan antara pembinaan bangunan tertinggi dunia dengan berakhirnya kitaran bisnes.