Skip to content

Gagal mengangkat isu institusi kekeluargaan – Kerajaan PN tidak prihatin dan gagal melaksanakan tugasan asas kerajaan

Kami merujuk kenyataan media semalam oleh Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & KL (Family Frontiers) bersama enam (6) orang ibu warganegara Malaysia yang telah membuat tuntutan untuk mendapatkan deklarasi daripada Mahkamah mengenai isu peruntukan kewarganegaraan Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan yang mendiskriminasi wanita warganegara Malaysia. Dalam kenyataan media itu juga, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) didakwa menyatakan bahawa tuntutan tersebut adalah mengaibkan, menyusahkan dan remeh.

Kami menjangkakan sebagai sebuah Kerajaan yang prihatin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan segera tampil mempertahankan tuntutan para ibu ini selari dengan perjuangan Kementerian di bawah kendaliannya. Namun sehingga kini, kami masih tertanya-tanya di manakah suara beliau selepas tuntutan isu ketidaksamaan pemberian taraf kewarganegaran Malaysia dibangkitkan? Jika dibandingkan semasa KPWKM di bawah pentadbiran Dato’ Seri Datin Seri Dr. Wan Azizah, beliau tanpa berlengah akan terus menulis surat kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), membuat pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri dan proaktif melakukan libat urus dengan KDN sesuai dengan keprihatinannya untuk membela nasib mereka ini.

Sebuah Kerajaan yang prihatin seperti mana yang didakwa sudah seharusnya akan mengangkat isu diskriminasi terhadap wanita dan menyokong mana-mana Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Family Frontiers ini. Perjuangan mendapatkan hak kewarganegaraan untuk kanak-kanak adalah penting dan sesuatu yang perlu serta merupakan satu tugasan asas sebuah Kerajaan yang prihatin malah ia jauh daripada menyusahkan dan remeh sebagaimana yang didakwa. Menamakan diri sebagai sebuah Kerajaan Prihatin tidak memadai tanpa disusuli dengan tindakan dan polisi yang mencerminkan nama tersebut. Jika Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak bersedia untuk terjun dalam perjuangan ini, beri laluan kepada mereka yang layak dan bersedia menyingsing lengan untuk melakukannya.