Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita pemotongan gaji tukang pembersihan sekolah. Seperti yang dimaklumkan oleh pihak Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) melalui laman twitter mereka, pihak kontraktor telah memotong gaji mereka di arahan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), dengan rasional penggiliran syif bekerja.
Sekiranya apa yang dimaklumkan ini adalah benar, keputusan pihak tertentu untuk memotong gaji mereka ini dilihat sebagai perbuatan yang sangat tidak wajar, lebih-lebih lagi di waktu negara kita masih berdepan dengan pandemik COVID-19.
Umum mengetahui, mereka yang kerja di dalam sektor ini memperoleh gaji minima. Apa yang lebih menyebalkan adalah apa yang dilakukan oleh majikan mereka bertentangan dengan arahan Kementerian Sumber Manusia, di mana majikan tidak boleh membuat pemotongan gaji sewaktu PKP. Dengan gaji mereka yang kecil, apabila pemotongan gaji dibuat, sudah pastinya kehidupan mereka akan terkesan dengan hebat. Selain itu, mereka juga adalah antara golongan yang sentiasa terdedah dengan bahaya COVID-19. Tatkala kebanyakan orang ramai duduk di rumah, mereka bekerja hampir setiap hari!
Sekiranya pihak kerajaan melihat inisiatif pemotongan gaji ini sebagai sesuatu yang boleh membantu mereka mendepani wabak COVID-19, jangan potong gaji penjawat awam! Sebaliknya, golongan menteri dan golongan pengerusi serta pengarah syarikat-syarikat GLC adalah antara individu terawal yang wajar dipotong gaji. Sekiranya perlu, pemotongan gaji sebanyak 80% hendaklah dikenakan. Tambahan pula, parlimen juga tidak bersidang, tiada masalah untuk para menteri memotong gaji mereka kerana tanggungjawab tersebut sudahpun dilepaskan untuk ketika ini
Kepada tukang-tukang pembersihan sekolah di kawasan parlimen Kepong yang menghadapi masalah pemotongan gaji atas keputusan pihak kerajaan ini, kalian boleh menghubungi pihak saya. Pihak saya akan mencuba sebaik mungkin anda menghadapi masalah ini dan juga menyediakan bantuan kewangan sekiranya perlu.