Gangguan bekalan elektrik melibatkan banyak kawasan dan berpanjangan di selatan Johor, terutama di Bukit Indah dan kawasan Sutera sejak Khamis 14 Disember, memerlukan perhatian daripada Kerajaan Persekutuan.
Krisis itu masih tidak diselesaikan selepas lebih 72 jam. Ini mungkin merupakan gangguan elektrik paling teruk dan lama di Semenanjung Malaysia sejak 1996.
Memandangkan perkara ini adalah krisis yang serius yang sudah lama tidak terjadi, saya menggesa Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Maximus Ongkili dan Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Datuk Abdul Razak Abdul Majid untuk tampil memberikan penjelasan kepada orang ramai. Kedua-dua mereka sehingga kini masih berdiam diri berhubung perkara ini. Saya sudah cuba menghubungi menteri berkenaan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) namun gagal kerana telefonnya dipadam.
Saya difahamkan Ketua Setiausaha KeTTHA Datuk Seri Prof Zaini Ujang, yang merupakan bekas naib kaunselor UTM Skudai, memiliki hartanah di kawasan yang terjejas dengan bekalan elektrik. Saya menggesa beliau memberi perhatian segera kepada krisis ini sekerinya Menteri berada di luar negara.
Suruhanjaya Tenaga yang merupakan badan yang mengawalselia Tenaga Nasional Berhad perlu menyiasat dengan teliti faktor dan kejadian yang menyebabkan Perling PMU terputus bekalan elektrik pada 14 Disember. Suruhanjaya Tenaga perlu mengarahkan TNB menilai kerugian pengguna dan memberi pampasan sewajarnya.
DAP Johor juga menggesa laporan siasatan menyeluruh dibuat dan diumumkan kepada orang ramai dalam kadar segera.
Memandangkan kawasan selatan Johor sedang melalui pembangunan pesat terutama yang melibatkan kawasan perumahan, projek komersial dan industri di Iskandar Malaysia, isu bekalan tenaga dan air perlu diberi keutamaan dalam perancangan dan pelaksanaan pembangunan.
Keluarga rakyat biasa, perniagaan kecil dan besar terjejas dan mengalami kerugian apabila terjadi gangguan bekalan air dan elektrik. Semestinya, perkara ini turut mempengaruhi keyakinan penduduk setempat dan pelabur luar.
Justeru, adalah penting bagi Kerajaan Persekutuan jujur berkenaan sebab gangguan bekalan elektrik ini dan menjelaskan langkah mengatasinya bagi mengelakkan keyakinan orang ramai terus terhakis.