Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Dr Mohd Na’im Mokhtar hari ini menyatakan bahawa kerajaan sedang merangka garis panduan baharu bagi mengawal penyertaan umat Islam dalam sambutan perayaan dan upacara kematian serta kunjungan yang diadakan di rumah ibadat bukan Islam. Keputusan tersebut amat dikesali kerana ia tidak mengambil kira tentang kepentingan masyarakat majmuk di negara kita malah berpotensi memperdalamkan perpecahan kaum. Ia juga bercanggah dengan prinsip asas keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia serta semangat inklusif di bawah pentadbiran kerajaan MADANI.
*Malaysia Dibina atas Prinsip Saling Menghormati dan Memahami Antara Kaum*
Sejak merdeka, masyarakat majmuk di Malaysia hidup secara aman dan hormoni berasaskan prinsip saling memahami dan hormat-menghormati kebudayaan dan kepercayaan masing-masing. Interaksi antara Muslim dan bukan Muslim, termasuklah penyertaan dalam perayaan serta upacara keagamaan masing-masing, sentiasa menjadi faktor penting dalam mengukuhkan keharmonian sosial.
Kini, kerajaan mahu memperkenalkan garis panduan baharu – apakah ini bermakna kerajaan mahu mewujudkan suatu tembok antara kaum yang hanya akan melemahkan perpaduan dan kepercayaan antara rakyat?
Menteri seolah-olah risau bahawa penyertaan umat Islam dalam majlis bukan Islam boleh menjejaskan akidah mereka. Namun, Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan telah dengan jelas memberikan kuasa kepada negeri untuk menggubal undang-undang bagi mengawal penyebaran agama lain kepada umat Islam. Maka, tiada sebab untuk bimbang bahawa Muslim akan dipengaruhi ataupun menukar agama hanya kerana menghadiri majlis bukan Islam.
Berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan:
> *”Undang-undang negeri dan berkenaan dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.”*
Jelas bahawa undang-undang sedia ada sudah cukup untuk melindungi umat Islam daripada sebarang bentuk dakwah agama lain. Oleh itu, kerajaan tidak seharusnya mengenakan lebih banyak sekatan terhadap interaksi sosial dan budaya antara masyarakat Islam dan bukan Islam.
*Kerajaan Perlu Memupuk Perpaduan, Bukan Mewujudkan Perpecahan*
Keperluan dan kewajaran garis panduan baharu ini adalah dipersoalkan, termasuklah syarat bahawa pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan perlu mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan.
Adakah ini bermakna Perdana Menteri ataupun menteri-menteri yang beragama Islam juga perlu mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Agama Islam sebelum menghadiri majlis bukan Islam? Ataupun dalam keadaan seseorang wakil rakyat Muslim hadir atas inisiatif sendiri ke majlis perayaan atau pengebumian bukan Islam, adakah penganjur pula akan dikenakan tindakan?
Adakah Menteri Agama telah mendapatkan pandangan Kabinet dan pihak berkepentingan lain sebelum merangka garis panduan ini atau sekadar tunduk kepada tekanan kumpulan tertentu?
Kerajaan sepatutnya berusaha memperkasakan dialog antara kaum dan agama untuk menggalak perpaduan nasional, bukannya memperkenalkan sekatan yang hanya akan mencetuskan jurang perpecahan. Masa depan Malaysia adalah milik seluruh rakyat, bukannya milik golongan ekstremis. Kita perlu mempertahankan kepelbagaian dan keharmonian negara ini, bukannya menuju ke arah perpecahan dan pengasingan.