Skip to content

Gelombang perebakan Omicron, kerajaan negeri siap siaga

Kerajaan Negeri Pulau Pinang siap siaga menghadapi gelombang perebakan Omicron di negeri ini. Menerusi mesyuarat dalaman yang berlangsung sebentar tadi, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memaklumkan bahawa peningkatan kes di Pulau Pinang dalam tempoh seminggu ini telah dijangkakan yang mana kini telah berlakunya perebakan gelombang Omicron dalam komuniti (community spread).

Sehingga kini, kes-kes yang dilaporkan adalah membabitkan Kategori 1 serta Kategori 2A, dan jumlah kemasukan ke hospital masih dalam keadaan terkawal. Walaupun terdapat peningkatan pesakit ke Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Kecemerlangan MARA (MEC), jumlahnya juga masih terkawal dan pemantauan lanjut adalah diteruskan.

Pulau Pinang sehingga 12 tengah hari, 9 Februari 2022 mencatatkan 21 kluster aktif dengan pecahan mengikut sektor iaitu empat membabitkan perkilangan (4); tempat kerja (5); institusi pendidikan (10); kumpulan berisiko tinggi (1) dan pusat tahanan (1). Justeru, umum diseru untuk mengambil suntikan dos penggalak demi perlindungan diri. Bagi golongan kanak-kanak berusia lima tahun dan ke atas, segeralah mendaftar menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) yang berlangsung kini.

Selain Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Seberang Jaya yang telah memulakan PICKids khas kepada golongan kanak-kanak komorbid, sebanyak lima (5) pusat pemberian vaksin (PPV) PICKids (kepada kanak-kanak normal) bakal beroperasi di kelima-lima daerah negeri ini iaitu Tapak Pesta Sungai Nibong bagi Daerah Timur Laut pada 12 Februari 2022; dewan pusat membeli-belah Sunshine, Bayan Baru (Daerah Barat Daya), pusat membeli-belah Sunshine Bertam (Seberang Perai Utara), Tapak Ekspo Seberang Jaya (Daerah Seberang Perai Tengah) dan Dewan MPKK Bandar Cassia (Seberang Perai Selatan) masing-masing pada 14 Februari 2022.

Dalam pada itu, mesyuarat turut memperhalusi perkara-perkara berikut bagi tindakan lanjut:-

  1. Mewujudkan PKRC swasta seperti di hotel-hotel selain MEC sedia ada kini bagi menampung serta menghadapi peningkatan kes positif yang memerlukan kuarantin di luar kediaman;
  2. Pengurusan COVID-19 secara digital menerusi aplikasi MySejahtera;
  3. Pengoperasian Hotline Pusat Panggilan COVID-19 Assessment Centre (CAC) JKNPP, 04 – 3827143 / 04 – 3827142 kekal beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang pada setiap hari;
  4. Hotline/lain-lain pusat panggilan/gerakan siap siaga untuk diaktifkan sekiranya diperlukan.