Skip to content

Genap 2 tahun perlaksanaan GST, rakyat menderita akibat BN gagal mentadbir

‘Harga barang akan turun kerana GST.’ Mungkin ini merupakan satu-satunya kenangan ‘manis’ buat rakyat Malaysia ketika perlaksanaan cukai zalim, Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) genap 2 tahun sejak tahun 2015. Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Ahmad bin Maslan telah dibuktikan salah dengan penderitaan rakyat yang semakin membimbangkan. Harga barangan dan perkhidmatan yang semakin melambung tinggi sejak 2 tahun ini di tambah buruk dengan pengurangan serta penghapusan subsidi barangan keperluan harian oleh kerajaan kleptokrasi yang di ketuai oleh Najib Razak.

Kesengsaraan rakyat Malaysia amat terasa dengan kegagalan kerajaan menghalang penurunan nilai Ringgit. Melalui GST, kerajaan berjaya mengutip RM27 bilion pada tahun 2015 dan RM39 bilion pada tahun 2016. Di manakah duit tersebut dibelanjakan? Bukankah kerajaan, melalui Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan GST merupakan penyelamat kepada rakyat Malaysia? Ataupun ianya sebenarnya penyelamat kepada kerajaan Malaysia yang hampir muflis.

Pakatan Harapan dengan konsistennya telah membantah perlaksanaan GST kerana kami berpandangan bahawa kekurangan hasil kerajaan untuk menampung perbelanjaan yang tinggi dapat diatasi sekiranya pentadbiran kerajaan lebih efektif dengan menghapuskan rasuah, salahguna kuasa serta penyelewengan yang telah menyebabkan kerajaan kehilangan wang setinggi melebihi US48.93 bilion. Ini adalah dirujuk kepada laporan Global Financial Intergrity. Bukankah itu jauh lebih tinggi berbanding dengan kutipan GST yang hanya berpuluh billion ringgit di samping menambah beban rakyat dengan kenaikan harga.

Kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan Selangor yang tidak menerima sebarang hasil daripada cukai GST telah membuktikan keupayaan kami mentadbir dengan lebih cekap dan berkesan. Tanpa bergantung pada GST, kerajaan Selangor telah berjaya berkongsi hasil negeri dengan rakyat malalui program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor seperti air percuma, Tawas, SMUE, Tunas dan banyak lagi termasuk yang terkini, Skim Peduli Sihat yang dianggar menelan kos sebanyak RM125 juta setahun untuk program ini sahaja. Ini adalah kerana Pakatan Harapan mengamalkan prinsip pentadbiran yang adil, telus dan yang penting sekali, tidak rasuah.

Kerajaan sepatutnya memberhentikan perlaksanaan GST and mengumumkan peperangan rasuah secara menyeluruh. Dengan pengurangan kejadian rasuah di negara ini, saya yakin kehidupan rakyat tidak akan di bebankan dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup dan kerajaan mampu menambah subsidi-subsidi yang terpaksa di kurangkan serta hapuskan akibat kegagalan kerajaan menangani gejala rasuah yang semakin membimbangkan sehingga ia sudah menjadi suatu budaya dalam masyarakat Malaysia.