Dalam masa 12 jam lagi, kita bakal menyaksikan satu lagi batu tanda dalam konspirasi 17 tahun untuk menghancurkan seorang patriot dan nasionalis Malaysia yang telah menyerahkan seluruh hayat hidupnya untuk kesejahteraan negara serta melanjutkan perjuangan ke arah kebebasan, keadilan dan maruah manusia.
Sekiranya tenaga, usaha, masa dan sumber selama 17 tahun yang dikerah oleh pihak berkuasa untuk menghancurkan seorang individu telah digunakan untuk menjawab cabarannya di lapangan idea dan dasar awam berkait keadilan, kebebasan, pembangunan dan maruah manusia; Malaysia pastinya telah menjadi negara yang lebih baik dan cemerlang hari ini.
Esok, Anwar Ibrahim mungkin sahaja meninggalkan Istana Kehakiman sebagai seorang yang bebas, atau beliau mungkin akan dipenjarakan buat kali ketiga.
Apa pun hasilnya, yakinlah Anwar bahawa perjuangan demi keadilan, kebebasan, maruah manusia, dan terutamanya perjuangan ke arah perpaduan, keharmonian dan keamanan dalam negara yang berbilang kaum, berbilang agama, berbilang bahasa serta berbilang budaya akan diteruskan sehingga berjaya.
Malah, memenjarakan Anwar akan menyemarakkan lagi semangat rakyat Malaysia di seluruh negara untuk memberikan komitmen dan usaha yang lebih hebat bagi meneruskan agenda perubahan nasional demi menyelamatkan Malaysia daripada menjadi antara negara yang gagal, sekiranya ia meneruskan dasar-dasar penindasan politik, ketidakadilan ekonomi, rompakan hasil bumi, degradasi moral sehinggakan Menteri pun tidak tahu beza yang benar dan yang salah, hubungan kaum dan agama yang kian memburuk, gejala rasuah yang semakin menular dan runtuhnya nilai urustadbir yang baik serta prinsip asas akauntabiliti dan ketelusan.
Pakatan Rakyat adalah manifestasi kejayaan terbesar Anwar dalam agenda perubahan nasional, dengan kejayaan yang tidak dijangka-jangka pada tahun 2008 dan kemudian pada PRU ke-13 di mana Anwar dinafikan tempatnya sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh akibat daripada sistem pilihanraya yang tidak demokratik sedangkan Pakatan Rakyat berjaya mendapat 52% undi seluruh negara.
Pakatan Rakyat telah menjadikan rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, daerah, usia atau jantina, berani untuk sekali lagi meletakkan harapan dan impian di mana kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya yang telah saling bertemu di Malaysia boleh dijadikan andalan dan batu binaan bagi mencipta sebuah negara Malaysia yang hebat dan menjadi contoh kepada dunia bukan sahaja dari segi demokrasi politik, kemakmuran ekonomi dan keadilan, sistem pendidikan yang baik, kualiti hidup malah yang lebih penting lagi, sebagai masyarakat majmuk yang bersatu-padu, aman, harmoni dan bersemangat.
Tetapi Pakatan Rakyat masih lagi melalui proses siap, dan tidak ada jaminan bahawa ia tidak akan goyah dan punah namun ia pastinya mampu merealisasikan impian dan aspirasi yang diletakkan kepadanya oleh rakyat Malaysia.
Tidak syak lagi, inilah tugas dan cabaran buat parti-parti komponen Pakatan Rakyat dan pimpinannya demi menjadikan Pakatan suatu kejayaan.
Kita tidak menyembunyikan hakikat bahawa Pakatan sedang dilanda krisis terbesar sejak ia dibentuk tujuh tahun lalu, cabaran yang lebih hebat berbanding krisis pertama yang dihadapi Pakatan pada September 2011, yang hampir sahaja menamatkan riwayat Pakatan Rakyat.
Sekiranya Pakatan Rakyat berpecah ekoran kontroversi hudud pada September 2011, maka keputusan bersejarah PRU ke-13 pada 5 Mei 2013 yang menyaksikan Pakatan Rakyat memenangi 52% undi popular dan menjadikan kerajaan Najib sebuah kerajaan minoriti, dengan kemenangan Pakatan ke atas 89 kerusi Parlimen dan 229 kerusi DUN (tidak termasuk Sarawak) pastinya tidak dapat dicapai.
Sekiranya Pakatan Rakyat berpecah sekarang sebelum pilihanraya akan datang, siapalah yang tahu apa yang akan terjadi pada PRU ke-14 yang bakal berlangsung dalam masa tiga tahun lagi.
Oleh kerana Pakatan Rakyat merupakan manifestasi harapan beberapa generasi rakyat Malaysia ke arah perubahan dan kejayaan bagi negara, maka pimpinan DAP bersedia untuk berjuang hingga ke akhirnya bagi memastikan Pakatan Rakyat berjaya – dan saya percaya bahawa ini jugalah sentimen dan komitmen yang dikongsi oleh pimpinan PKR dan PAS terhadap janji dan cabaran yang dikemukakan dalam ujikaji Pakatan ini.
Pakatan hanya boleh mampu bertahan dan berjaya sekiranya kita mematuhi dua prinsip asas yang telah menjadi rahsia kejayaan Pakatan dalam masa enam tahun lalu – kepatuhan terhadap Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telah menjadi batu asas prinsip-prinsip yang dikongsi ketiga-toga parti komponen serta prinsip beroperasi secara konsensus dalam hal Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sebagai badan pembuat dasar tertinggi dalam Pakatan.
Semalam kita telah bersetuju untuk mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat bagi membincangkan dua isu, undang-undang hudud di Kelantan dan pilihanraya kerajaan tempatan, dan tidak akan ada sebarang perkembangan terbaru mengenai dua isu ini kecuali mendapat lampu hijau daripada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat. Ini bermakna sebarang usul persendirian di parlimen oleh PAS mahupun cadangan kerajaan negeri PAS Kelantan mestilah terlebih dahulu dibawa ke Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.
Laporan The Malaysian Insider oleh Sheridan Mahavera bertanya sekiranya Pakatan sering bersetuju untuk tidak bersetuju, bagaimanakah ia akan mentadbir Malaysia? Ini soalan yang perlu difikirkan dengan mendalam oleh pimpinan Pakatan Rakyat, namun saya tidak mahu membincangkannya malam ini.
Apa yang ingin saya sentuh ialah pandangan Dr Maszlee Malik, seorang saintis politik dan pembantu profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, yang mencadangkan supaya pimpinan Pakatan mempunyai wawasan yang lebih tergabung dan mentaliti yang lebih inklusif di kalangan tiga parti komponen – berbanding mentaliti eksklusif di kalangan pimpinan Pakatan yang lebih tua yang bergiat aktif dan celik politik di saat parti masing-masing beroperasi secara sendiri-sendiri.
Pemimpin Pakatan Rakyat yang terutamanya aktif selepas era reformasi 1998 telah menghayati politik secara koalisi dan selesa bekerja di tengah-tengah perbezaan ideologi parti masing-masing.
Menurut beliau: “Saya percaya orang seperti Hadi, (Ketua Parlimen DAP) Lim Kit Siang dan malah (Ketua Umum PKR Datuk Seri) Anwar Ibrahim patut mengundur diri dan membiarkan generasi baru membentuk Pakatan Rakyat.”
Saya tidak mahu membincangkan pendapat dan hujahan Maszlee yang begitu menarik itu di sini, tapi saya ingin melihatnya dari sudut berbeza.
Saya rasa cadangan Maszlee supaya para pemimpin lama mengundur diri daripada baris hadapan dan memberi ruang kepada generasi muda untuk mengambil alih kepimpinan mempunyai merit tersendiri.
Usia purata anggota Kabinet Malaysia ialah 58.5 tahun, di mana separuh daripada anggota Kabinet berusia lebih 60 tahun – antara usia 60 tahun Idris Jusoh dan Douglas Uggah Embas dan usia 68 tahun Muhyiddin Yassin – manakala Datuk Seri Najib Razak berusia 62 tahun.
Sekitar 90 peratus daripada 30 juta rakyat Malaysia lahir selepas Merdeka pada 31 Ogos 1957. Populasi rakyat Malaysia dari segi usia terdiri daripada: 0-14 tahun 28.8%; 15-24 tahun 16.9%, 25-54 tahun 41.2%, 55-64 tahun 7.6%, 65 tahun ke atas 5.5%.
Bukankah sudah tiba masanya bagi populasi yang lebih muda mengambil alih kepimpinan di semua peringkat dan ruang lingkup kehidupan Malaysia?
Sekiranya kita mempunyai Kabinet yang dengan beberapa pengecualian, terdiri daripada Menteri yang lahir selepas Merdeka, separuh daripada anggota Kabinet boleh dilupuskan – mereka yang dikutuk oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai tidak berkualiti, dan dicerca Tun Daim Zainuddin sebagai ‘tunggul kayu’.
Dengan Kabinet yang lebih muda, kuranglah kemungkinan bencana seperti yang dilakukan Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi dalam suratnya kepada FBI bagi menjamin karakter dan integriti seorang raja judi, serta kenyataan perkauman Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Ismail Sabri Yaakob supaya pengguna Melayu memboikot peniaga Cina.
Mari kita lihat Kabinet Merdeka Tunku Abdul Rahman pada tahun 1957, yang mempunyai usia purata 43.3 tahun – dengan Tunku sebagai Perdana Menteri pada usia 54 tahun, Menteri Kewangan HS Lee 57 tahun, paling tua; manakala Menteri Pelajaran Khir Johari berusia 34 tahun dan Timbalan Perdana Menteri Abdul Razak Hussein, 35 tahun.
Sekiranya generasi pasca Merdeka mengambil alih tanggungjawab masa depan Pakatan Rakyat dan juga negara, maka kita bercakap tentang Azmin Ali, 51, Saifuddin Nasution 52, Nurul Izzah, 35, Rafizi Ramli 38 in PKR; Husam Musa 56, Tuan Ibrahim Tuan Man, 55, Salahuddin Ayub, 54 in PAS; Lim Guan Eng 55, Teresa Kok 51, Anthony Loke 39, Chong Chieng Jen 44, Tony Pua 43 and Liew Chin Tong 37, Gobind Singh Deo dan Dyana Sofya Mohd Daud dalam DAP.
Saya tidak mencadangkan sebarang langkah segera tetapi saya rasa ada merit dalam cadangan supaya pemimpin lama seperti hadi dan saya sendiri mula mengundurkan diri dari baris depan dan memberi ruang kepada generasi pasca merdeka.