Pada 16 April, saya diiringi oleh Ahli Parlimen Ipoh Timor Thomas Su serta ADUN Bercham Cheong Chee Khing telah membuat satu laporan polis di IPD Ipoh berhubung satu kenyataan fitnah yang ditularkan di Facebook. Kenyataan fitnah besertakan gambar saya berbunyi “Saya menyokong kenyataan Teresa Kok sekiranya kami DAP menang pada PRU 14, masjid di seluruh negara akan ditukarkan menjadi gereja yg termasyur di dunia” dan “Malah lebih 5,000 premis perjudian dan rumah urut akan dibuka selepas PRU14 di Parlimen Batu Kawan dan ADUN Perai” disebar luas dan telah mengundang respons yang berbisa dari kalangan pengguna Facebook.
Ternyata ini satu fitnah dan pembohongan semata-mata yang mensasarkan saya dan parti saya.
Saya, mahupun parti DAP tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti ini yang berbaur ekstremis.
Penyebaran fitnah ini, mengejutkan kerana pada 15 April 2017, Perdana Menteri Najib Razak dalam satu nukilan blognya menggesa aktivis media sosial pro-Barisan Nasional untuk memulakan serangan ke atas musuh BN untuk mempertahankan kerajaan dan membantu mengekalkan BN di Putrajaya.
Adakah saya dan Teresa Kok mangsa ugutan fitnah oleh aktivis media sosial pro-BN yang bertindak sedemikian setelah diampu, dikerah dan digesa oleh Datuk Seri Najib Tun Razak?
Saya telah meneliti blog Perdana Menteri mengenai kenyataan beliau dan teringat pengumuman Najib Razak pada tahun 2012 dan 2015 mengenai kewajipan ‘CyberTroopers BN” untuk menempias kekuatan pembangkang. Dalam blog ini beliau telah memberikan 3 prinsip asas untuk perjuangan tersebut iaitu untuk mengelakkan pertelagahan sesama sendiri untuk menegakkan kerajaan BN, memperluaskan rangkaian alam maya dan supaya aktivis ini belajar dari apa yang berlaku dalam pilihanraya umum dahulu.
Tidak kelihatan satu pun nasihat atau amaran supaya aktivis sosial BN ‘menyerang dengan fakta dan dengan berhemah’, supaya mengupas kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa, supaya tidak menyentuh isu perkauman atau keagamaan dinegara kita yang sering menjadi pedang peperangan UMNO/BN yang bertujuan mengapi-apikan isu perkauman di Malaysia. Tiada tunjuk ajar atau teguran mahupun wejangan untuk ‘cybertroopers’ ini agar tidak mengeluarkan kenyataan fitnah dan kenyataan ekstremis terhadap pemimpin pembangkang, aktivis serta NGO yang berani bersuara dan yang mempunyai pendapat yang bercanggah, berbeza dan yang tidak sehaluan dengan kerajaan.
Apa lagi yang Najib mahu sebenarnya? Media arus perdana semuanya dibawah kawalan dan pantauan kerajaan BN dan digunakan sebagai lidah rasmi dan organ propaganda BN, dan berdasarkan apa yang telah berlaku kepada media alam maya dalam pendedahan ‘ibu kepada segala skandal’ 1MDB, terbukti kerajaan tidak teragak-agak untuk menggunakan kuasanya untuk menganiaya dan mengugut pihak media ini serta pemberita mereka. Apa pula modus operandi aktivis sosial BN yang bakal dihalalkan oleh Perdana Menteri Najib Razak menjelang PRU14?
Sahutan Perdana Menteri jelas akan melahirkan laksamana alam maya yang akan menghidupkan kembali budaya samseng dalam menerjah pimpinan pembangkang dan aktivis.
Nyata Najib Razak tidak ‘gentleman‘ dalam memberi panduan dan peringatan kepada cybertrooper BN.
Saya, Teresa Kok serta parti DAP tidak pernah sekalipun mengeluarkan apa-apa kenyataan yang bertujuan untuk memainkan sentimen perkauman atau mengapi-apikan isu keagamaan dikalangan penduduk berbilang bangsa dan agama yang hidup secara aman dan harmoni sesama sendiri, terutama sekali apa yang terkandung dalam petikan tersebut.
Yang mengelirukan, membohong dan memainkan isu perkauman adalah parti komponen Barisan Nasional yang ironisnya terdiri daripada parti perkauman!
Gesaan Perdana Menteri Najib Razak kepada aktivis sosial Barisan Nasional untuk menyerang musuh di alam maya sungguh tidak bertanggungjawab, berbaur samseng dan akan menggalakkan tusukan rasisme dan ekstremisme dikalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.