Skip to content

Goldman Sachs sendiri telah mengaku bahawa USD 2.5 billion akan dibayar kepada Kerajaan Malaysia untuk melepaskan diri daripada penglibatan jenayah Goldman Sachs menyeleweng 1MDB bersama pemimpin Malaysia dan kroni mereka

Kerajaan PN diam seribu bahasa berdepan kritikan terhadap penyelesaian USD 3.9 billion yang kononnya “tawaran yang bagus” dengan Goldman Sachs (GS) untuk melepaskan diri daripada penglibatan jenayah GS menyeleweng 1MDB bersama pemimpin Malaysia dan kroni mereka, sekaligus membuktikan bahawa PN langsung tidak mengendahkan akauntabiliti awam dan ketelusan dalam hal yang melibatkan kepentingan rakyat.

Fakta penting bahawa GS hanya membayar USD 2.5 bilion dan bukan USD 3.9 bilion telah diakui oleh GS. Kenyataan media GS berkaitan Perjanjian dengan Kerajaan Malaysia bertarikh 24 Julai 2020 mengesahkan bahawa GS dan bukannya pihak Malaysia yang telah berjaya mendapatkan tawaran yang bagus iaitu dengan hanya membayar USD 2.5 bilion, GS telah dapat melepaskan diri daripada semua tindakan undang-undang jenayah dan regulatori terhadap mereka di Malaysia. Berikutan itu, bukan sahaja 17 pertuduhan jenayah terhadap pengarah dan bekas pengarah GS akan digugurkan, malah tiada lagi sebarang pertuduhan berkaitan 1MDB akan dikenakan terhadap Goldman Sachs, anak-anak syarikatnya, ataupun mana-mana pengarah, pegawai dan pekerja mereka (kecuali bekas pekerja Tim Leissner dan Roger Ng).

GS menyatakan bahawa, “perjanjian ini secara prinsipnya melibatkan pembayaran $2.5 bilion kepada Kerajaan Malaysia dan satu jaminan bahawa Kerajaan Malaysia menerima sekurang-kurangnya $1.4 bilion dalam hasil daripada aset-aset berkaitan 1MDB yang dirampas oleh pihak-pihak berkuasa seluruh dunia. Berhubungan jaminan tersebut, Goldman Sachs telah melakukan analisa penilaian terhadap aset berkaitan dan berdasarkan analisa tersebut percaya bahawa jaminan itu tidak mendatangkan pendedahan risiko yang besar kepada pihak firma.”

Dalam kata lain, GS menegaskan bahawa jaminan USD 1.4 bilion yang akan diterima oleh pihak Malaysia daripada aset-aset berkaitan 1MDB yang dirampas pihak-pihak berkuasa seluruh dunia tidak akan mengakibatkan GS membuat sebarang pembayaran yang besar. Malah, kemungkinan besar jumlah yang akan dibayar GS hanya terhad kepada bayaran tunai sebanyak USD 2.5 bilion seperti yang telah dijanjikan.

Kesemua ini mengesahkan maklum balas mantan Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas pada 3 Ogos 2020 terhadap “tawaran yang bagus” dengan GS, “… kenyataan yang mengelirukan tentang US$1.4 bilion (RM5.97 bilion) sebagai sebahagian daripada penyelesaian Goldman Sachs. Malaysia akan menerima jumlah ini daripada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), dalam apa jua keadaan, tanpa bergantung kepada penyelesaian dengan Goldman. Ini adalah kerana hubungan baik yang telah dijalin antara Malaysia dan DOJ selepas kerajaan Harapan mengambil alih pentadbiran pada Mei 2018. Dalam kata lain, hak Malaysia untuk menerima US$1.4 bilion langsung tidak bergantung kepada penyelesaian dengan Goldman Sachs.”

Jelas, GS telah mendapat satu tawaran yang bagus bertentangan dengan kepentingan rakyat Malaysia kerana melepaskan diri daripada penglibatan mereka dalam skandal 1MDB dengan hanya membayar USD 2.5 bilion, iaitu satu pertiga daripada tuntutan asal oleh kerajaan persekutuan PH berjumlah USD 7.5 bilion. Adakah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin akan berterus terang mengapa kerajaan sanggup melepaskan USD 5 bilion dan menjelaskan fakta secara penuh kepada Rakyat Malaysia?