Golongan muda di Malaysia dari latar belakang semua kaum dan agama perlu mempunyai visi untuk menjadi juara dunia dan bukannya tersangkut dengan isu-isu perkauman dan keagamaan dari abad yang lepas.
Sekiranya orang Melayu, Cina, India, Iban, dan Kadazan percaya yang ada wujudnya rancangan jahat untuk menghapuskan kaum mereka, atau orang Islam, Buddha, Kristian, atau Hindu percaya yang agama mereka berada dalam kedudukan yang diancam penghapusan, maka, tidak akan ada keamanan, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik dan agama di Malaysia.
Malaysia juga tidak akan menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Tidak wujud rancangan jahat untuk menghapuskan mana-mana kaum atau agama di Malaysia, sebaliknya perkara ini hanya wujud di dalam imaginasi dan retorik dalam kalangan mereka yang mahu satu kaum untuk membenci kaum yang lain atau untuk satu kumpulan agama membenci kumpulan agama yang lain atau untuk membuatkan satu kumpulan agama mempersoalkan persefahaman dan toleransi kumpulan agama yang lain.
Perkara ini bertentangan dengan dua matlamat prinsip Rukun Negara, iaitu, “Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya” dan “Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak”.
Parlimen yang bakal bersidang selama tiga minggu bermula pada hari Isnin minggu hadapan mempunyai peluang yang terbaik untuk menggerakkan usaha penyatuan negara dengan memastikan semua 222 Ahli-ahli Parlimen menyokong dan mengiktiraf kepentingan lima prinsip-prinsip Rukun Negara – “KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN, KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA, KELUHURAN PERLEMBAGAAN, KEDAULATAN UNDANG-UNDANG, KESOPANAN DAN KESUSILAAN”.
Perkara ini akan menjadi ujian semangat patriotisme dan nasionalisme Ahli-ahli Parlimen Malaysia terhadap konsep Malaysia seperti yang dibayangkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara, termasuklah tiga Perdana Menteri terawal negara yang juga merupakan Presiden-presiden UMNO.