Skip to content

Golongan wanita perlu berani tampil ke hadapan untuk menangani gangguan seksual atas talian

Saya mengutuk keras insiden gangguan seksual dan buli siber yang membabitkan seorang gadis di Johor Bahru, baru-baru ini. Pelaku harus mengaku salah dan dikenakan tindakan undang-undang. Gadis tersebut menjadi mangsa gangguan seksual dan buli siber apabila pelaku menggunakan kata-kata menghina untuk cuba memprovokasi dan mengancamnya yang boleh dikatakan sebagai intimidasi jenayah.

Dua minggu yang lepas, dua orang wakil rakyat di negeri Selangor telah menerima ugutan bunuh dan rogol di media sosial. Kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan telah tampil membuat laporan polis untuk membawa pelaku-pelaku ke muka pengadilan. Namun, bukan setiap mangsa berani menghadapinya.

Pada bulan Mei pula, seorang gadis berumur 20 tahun dari Penang telah bertindak membunuh diri selepas menjadi mangsa gangguan seksual dalam media sosial.

Masalah keganasan siber dan gangguan seksual semakin teruk. Tidak kira tokoh umum atau orang awam, buli siber atau gangguan seksual adalah amalan yang tidak boleh diterima. Gangguan seksual adalah satu bentuk perbuatan atau tindakan yang bersifat seksual, tidak kira sama ada dilakukan secara perbuatan mahupun percakapan dan ditujukan kepada seseorang yang lain. Oleh itu, segala bentuk gangguan seksual harus dikecam dan tidak boleh dipandang ringan.

Bagi seorang mangsa, tanggungjawab memerangi gangguan seksual bukan sahaja diletakkan di atas bahu kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan. Sokongan keluarga, rakan-rakan dan masyarakat juga adalah faktor penting.

Sekiranya mendapati ada di sekeliling kita yang menghadapi masalah gangguan seksual atau buli siber, kita perlu memberi sokongan kepada mangsa untuk berani menyuarakannya bagi mengelakkan tragedi berlaku. Keganasan siber telah mendedahkan sikap pengguna media sosial yang tidak bertanggungjawab. Kekurangan dasar dan penguatkuasaan telah memberi peluang kepada pembuli untuk bersembunyi di belakang nama pengguna yang menyembunyikan identiti sebenar.

Dalam menghadapi gangguan seksual atas talian, kerajaan mesti tegas dan mengutamakan pengenalan akta berkaitan isu ini. Untuk makluman, pada tahun 2018, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2018 bertajuk “Garis Panduan Pengendalian Kes Gangguan Seksual Di Tempat Kerja” bagi melindungi mangsa gangguan seksual di tempat kerja.

Pada Oktober 2019 pula, pertubuhan Joint Action Group for Gender Equality (JAG) telah mengemukakan draf garis panduan anti-gangguan seksual dan memorandum kepada Kerajaan Pakatan Harapan. Ketika itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual yang mampu melindungi hak dan kehormatan wanita pada asalnya dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun ini. Namun, insiden rampasan kuasa kerajaan pusat menyebabkan RUU ini ditangguhkan.

Sampai sekarang, kita belum lihat apa-apa kenyataan atau tindakan dari Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai perkembangan perkara itu. Saya menyarankan supaya kerajaan tidak mengambil mudah isu gangguan seksual dan segerakan RUU gangguan seksual untuk melindungi mangsa dan menangani budaya ketidakseimbangan gender.